Entri hari ini mungkin agak panjang bagi kalian yang membaca. Seperti biasa, sekiranya kalian rasa bosan untuk membaca, sila klik ikon X di sebelah atas kanan komputer kerana aku tidak mahu membebani otak kalian dengan entri panjang yang entah apa-apa ini. Jadi, untuk entri panjang yang entah apa-apa ini, aku memilih untuk menulis dan berkongsi pandangan tentang persefahaman di dalam sesuatu perhubungan kerana setiap daripada kita tidak pernah dan tidak akan pernah untuk tidak menjalinkan sesuatu perhubungan. Masih belum bosan? Sila teruskan pembacaan. 

Adat bila kita bersama dengan seseorang atau beberapa orang. Tidak kira untuk apa dan atas dasar apa kita perlu bersama, samada sebagai kawan, kekasih atau pasangan, persefahaman perlu ada. Itu satu kepastian. Tak boleh tidak, mesti diwujudkan. Mungkin bagi sesetengah insan, ia satu kewajipan. Dengan adanya persefahaman, barulah perkara lain dapat dilakukan. Dan sesuatu perhubungan itu akan kita rasa ada kenikmatan. Bayangkan bagaimana kalau tiada persefahaman, sekiranya tinggal di dalam sebuah rumah contohnya. Sudah pasti akan terasa serba kekurangan, hidup dibelenggu tekanan dan ketegangan dan akhirnya berkesudahan dengan perpisahan. Bagi aku, ia suatu penyiksaan jiwa sekiranya tiada persefahaman di dalam suatu perhubungan dan pastinya lebih menyiksakan andai terpaksa memutuskan perhubungan selepas kita mencipta harapan dari sebuah pertemuan agar keindahan dan kebahagiaan akan berkekalan.

Justeru itu, kesediaan dan kematangan kedua-dua pihak (atau lebih) amat perlu dalam mewujudkan persefahaman. Suka duka sama dirasa, susah senang sama diharungi. Dan dengan adanya persefahaman, maka hidup lebih ceria tanpa sengketa. Alangkah indahnya hidup bila ada orang yang memahami diri ini. Saling mengambil berat antara satu sama lain. Saling membantu dan sedia menghulurkan tangan tanpa perlu diminta, serta menghargai apa yang telah satu pihak lagi (atau lebih) telah lakukan untuk kita.

Jangan pula bila bersama, kita bersikap mementingkan diri. Mahu orang lain mengambil berat, prihatin dan memahami kita sedangkan kita tidak pernah cuba memahami orang lain. Mahu selalu orang membantu saat kita mahu tetapi berat untuk membantu saat yang satu lagi sedang memerlukan. Memang kata orang dalam sesebuah perhubungan, salah seorang perlu mengalah. Tetapi bukankah lebih baik kalau masing-masing boleh bertolak ansur. Itulah namanya ada persefahaman. Memahami kehendak dan keperluan orang lain dan pada masa yang sama menjaga kepentingan diri sendiri.

Jadi, untuk membina satu perhubungan yang berkekalan, penuh dengan kebahagiaan dan punya keharmonian, binalah dulu persefahaman. Andai persefahaman itu dapat dipupuk diperingkat awal, maka perhubungan itu akan berjalan dengan lancar. Memang diakui perselisihan sukar untuk dielakkan dalam sesuatu perhubungan namun sekiranya ada perkara-perkara yang menjadi pertikaian, pastinya ia dapat diselesaikan secara muhibah kerana masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Sekiranya diawal perhubungan sudah wujud keretakan dan sukar untuk mewujudkan persefahaman, entah bagaimana kesudahan perhubungan itu.

Terpulang pada kalian yang membaca untuk membuat penilaian samada mahu bersetuju atau tidak dengan lontaran idea aku yang serba kekurangan. Ini hanyalah sedikit pandangan berdasarkan pengalaman. Sekadar berpendapat cuma.