Arkib untuk Disember, 2007

Selamat Tahun Baru

Posted: Disember 31, 2007 in Uncategorized

Tahun baru, lazimnya diiringi dengan azam baru. Mungkin setiap orang mempunyai misi dan visi sendiri untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2008 nanti. Semoga tercapai apa yang dimaksudkan itu. Mungkin juga ada azam tahun sudah yang masih belum terlaksana, mungkin boleh diteruskan tahun baru ini. Selamat tahun baru 2008. Semoga sinar baru bakal kita temui. Juga semoga tahun 2008 ini lebih baik dari tahun sudah sebagaimana mutiara kata yang cukup suka aku gunakan;

“Beruntunglah mereka yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah mereka yang hari ini sama dengan semalam dan celakalah mereka yang hari ini lebih teruk daripada semalam.”

MENGIDAM

Posted: Disember 27, 2007 in Uncategorized

Bila membaca entri Kuew Teow di Bluehikari, tiba-tiba terasa ingin menikmatinya walaupun tiada masa untuk ke Restoran Madam Kwan di Mid Valley  dan terlalu jauh untuk ke Restoran Key’s di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Jadi, malam tadi aku pergi ke kafeteria kolej, aku pesan Kuew Teow Goreng Basah. Lama menunggu, akhirnya pesanan siap. Tidak terlalu sedap, sederhana sahaja. Yang ada dua ekor udang kecil dan sedikit daging ayam dipotong kecil-kecil. Cukuplah untuk mengelakkan kempunan. Sememang kuew teow adalah makanan kegemaran aku sejak kecil. Emak memang dah faham dengan anaknya yang seorang ini. Setiap kali pulang ke kampung, pasti akan digoreng kuew teow walaupun kadang-kadang hanya kuew teow togel. Sedapnya air tangan ibu. Bagi aku, itulah kuew teow paling sedap dalam dunia.

Amanah dan Ikhlas

Posted: Disember 27, 2007 in Uncategorized

Dalam mesyuarat semalam, aku diberi satu amanah. Jumaat dan Sabtu (28 dan 29 Disember 2007) ini aku ditugaskan untuk membawa beberapa orang pelajar kolej untuk menyertai misi bantuan mangsa banjir anjuran universiti di Pahang. Negeri yang paling terkesan musim bah kali ini. Tempatnya di mana, belum dimaklumkan pula. Sebenarnya aku begitu teruja untuk pergi ke sana, ingin melihat sendiri kesan dan nasib yang menimpa mangsa-mangsa tersebut. Dapat juga menghulur kudrat yang tak seberapa ini kepada mereka yang memerlukan. Aku sememangnya simpati melihat keadaan mereka walaupun sekadar menonton di televisyen. Ada beberapa orang rakan yang ingin pergi kerana ingin mendapatkan ganjaran seperti T-Shirt percuma dan sebagainya. Aku katakan pada mereka, ikhlaskan hati untuk membantu. Tidak dapat ganjaran dunia, Insya-Allah di sana nanti ada bahagian untuk kita. Mereka diam. Semoga niat kami untuk membantu dipermudahkan oleh-Nya dan dijauhi daripada perasaan riak, takbur dan mengharap balasan selain redha-Nya. Ameen.

Virus Oh Virus !

Posted: Disember 26, 2007 in Uncategorized

Dia pulang dari kampung dua hari lepas. Katanya rasa nak demam, badan rasa kurang sihat. Aku simpati. Mendoakan dia cepat sembuh. Tiba-tiba aku bangun pagi tadi, tekak mula perit. Hidung mula berair, kurang selesa bila bernafas. Sah! Virus dari dia mula singgah dan mengalahkan sistem imun aku. Aku pula rasa nak demam. Dan dia, sihat wal afiat semula. Dia kata aku kawan yang baik, sudi berkongsi penyakit dengannya. Alahai kawan aku yang seorang ni.

SMS Malam Hari

Posted: Disember 24, 2007 in Uncategorized

Dia tulis,

“In life, Allah doesn’t give you the people  you want.. Instead He give you the people you need; to teach you, to hurt you and to make you exactly the way you should be..”

Aku balas,

“…and sometime Allah give you the people you don’t want; also to teach you, to hurt you and to show you exactly the way you should be..”

. . .

Dia tulis lagi,

“Tak ada insan suci yang tak mempunyai masa lampau dan tak ada insan berdosa yang tak mempunyai  masa depan..” -ahli hikmah-

Aku balas,

“Insan paling teruk ialah insan suci yang melupakan masa lampaunya dan insan berdosa yang menutup masa depannya..”-buat sendiri-

. . .  

Dia diam.

Sebuah Pengorbanan

Posted: Disember 21, 2007 in Uncategorized

Berdebar hati Ibrahim tatkala mendapat perkhabaran dalam lena daripada Tuhannya. Tiga hari berturut-turut. Perintah bagi membuktikan ketaatan kepada Ilahi. Putera yang didamba sejak sekian lama perlu dikorbankan. Ya. Perintah diturunkan agar Ibrahim menyembelih Ismail, anak lelaki buah hati pengarang jantung. Dengan payah Ibrahim menyampaikan wahyu-Nya. Dan dengan penuh rela hati Ismail menyerahkan diri untuk dikorban. Demi patuh dan taat kepada Tuhan Rabbul Jalil. Lantas Ibrahim mengasah pisau setajam mungkin sambil Ismail memberi semangat, biar nyawa dihujung senjata asalkan perintah Tuhan terlaksana. Perintah Tuhan tak dapat dinafikan. Sampai hari dinanti, berbaring Ismail menanti pisau menyembelih leher. Tanpa diduga, pengorbanan Ibrahim diterima berganti kibas dari syurga akhirnya. Dengan penuh kesyukuran Ibrahim Khalillullah a.s dan Ismail a.s menerima segala nikmat dari Tuhannya. Itulah tanda sebenar pengorbanan seorang hamba, tanda cinta kepada Pencipta. Pengajaran berguna buat kita semua.

Salam Aidiladha al-Mubarak.

Mari memasak

Posted: Disember 19, 2007 in Uncategorized
Tag:

Kalian suka makan kek coklat atau kepingin menikmatinya? Apa kata cuba resipi yang aku ambil daripada buku catatan yang banyak tercatat resepi kuih, kek dan lauk-pauk kepunyaan emak yang aku jumpa semasa menyelongkar almari dapur untuk mencari lilin. Jadi atau tidak, bergantung pada usaha dan bakat memasak kalian kerana resepi ini daripada sumber yang sahih, hehehe…

Kek Coklat Moist

Bahan-bahan kek :
5 biji Telur ayam (Gred B)
1 ketul Butter
300g Tepung Gandum
400g Gula Caster
¾ cawan Serbuk Koko
1 ¾ cawan Air
1 camca Baking Powder
1 camca Soda Bikarbonat

Cara membuatnya :
1.Ayak tepung gandum bersama serbuk koko, baking powder dan soda bikarbonat.
2.Pukul butter bersama gula sehingga kembang.
3.Masukkan bahan-bahan yang diayak tadi sedikit demi sedikit berselang seli dengan air sehingga habis. Adun sehingga sebati.
4.Masukkan ke dalam acuan pembakar dan bakar selama 1 ¼ jam atau sehingga masak.

Bahan-bahan topping :
300g Coklat masak
1 cawan Susu
1 sudu Butter
Sedikit Tepung jagung

Cara membuatnya :
Masak kesemua bahan sehingga cair dan ratakan di atas kek yang telah masak tadi.

Notakakiku : Selain dapat berjimat duit untuk membeli yang ready-to-eat, dapat juga kalian mencuba bakat dan merasa kek hasil air tangan sendiri. Tapi awas! Jangan sampai ‘Kek Coklat Moist’ menjadi ‘Kek Coklat Rentung’. Selamat mencuba.