Baginda

Posted: Disember 17, 2007 in Uncategorized

Malam tadi (16 Disember) entah macam mana aku boleh melekat depan tivi. Menonton sebuah filem era 80-an atau 90-an aku kira. Filem Baginda lakonan mantap Azean Irdawaty, Jalil Hamid, Jaafar Onn, Luisa Chong (betul ke ejaan nama ni?) dan ramai lagi pelakon yang hebat rasanya. Mengisahkan usaha seorang pengetua sekolah yang sedaya upaya menaikkan nama sekolahnya (Mahmud Baginda). Pelbagai cabaran dilalui walaupun jalan ceritanya berkisarkan perjuangan pasukan bola tampar yang langsung tidak berpengalaman (baru ditubuhkan) untuk menentang satu lagi pasukan yabg hebat iaitu Dato’ Panglima. Akhirnya pasukan Mahmud Baginda berjaya. Kesudahan filem ini sememangnya sudah dijangka, namun bukan itu yang ingin aku perkatakan tetapi apa yang tersirat disebalik filem tersebut. Sepanjang perjalanan filem tersebut memaparkan adanya sebilangan guru yang dilantik untuk mendidik anak bangsa gagal untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Guru sepatutnya mencurahkan sepenuh daya dan usaha untuk mendidik muridnya tetapi ironinya apa yang berlaku sekarang ramai antara mereka menganggap tugas tersebut terlalu enteng. Kita lihat beberapa situasi.

Pertama. Ada guru yang mengajar ala kadar di sekolah tetapi mengajar bersungguh-sungguh dalam kelas tuisyen berbayar yang dikendalikannya. Kenapa? Jawapannya mudah. Mengajar disekolah gajinya tidak selumayan mengajar kelas tuisyen yang pendapatannya begitu lumayan. Kesannya, murid yang mampu dihantar menghadiri kelas tuisyen mendapat keputusan lebih cemerlang berbanding murid yang titak mampu mengikutinya.

Kedua. Ada sesetengah guru yang lebih sibuk menguruskan jualan langsung (perniagaan) sehinggakan murid-murid dijadikan kumpulan sasaran untuk melariskan produk. Jual perfume, jual tudung, jual ubat pandai, jual kasut dan bila menjelang hari raya, jual kuih raya. Lebih teruk ada yang mengambil masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas digunakan untuk mempromosikan produk mereka.

Ketiga. Ada guru yang mengajar setakat mengajar, bukan mendidik. Masuk kelas setakat mengejar masa untuk menghabiskan silibus yang ditetapkan. Mereka kadangkala tidak peduli samada murid faham atau tidak. Habis mengajar, keluar kelas dengan senang hati dan beranggapan bahawa semua murid memahami apa yang diajar. 

Aku rasa cukup diberikan tiga situasi untuk kita berfikir. Sebagai bakal seorang pendidik, aku selalu berfikir adakah aku mampu mengharungi pahit getir yang bakal aku lalui nanti. Bukankah menjadi seorang pendidik satu tugas yang mulia? Sekali kita menjadi cikgu, sampai bila-bila gelaran tersebut akan dipegang hatta sampai kita masuk ke kubur pun orang akan panggil ‘kubur cikgu sekian sekian’. Tidak dinafikan ramai diluar sana guru-guru yang bagus dan komited melaksanakan amanahnya. Aku amat berbangga dengan pendidik semacam itu. Tahniah cikgu-cikgu. Kepada guru yang pernah mendidik aku, dari TADIKA hingga sekarang, terima kasih cikgu. Kepada rakan-rakan yang bakal menjadi pendidik, ingatlah bahawa tanggungjawab besar akan kalian galas kelak sebaik tamat pengajian.

(Ini bukanlah entri hari guru, sekadar berpendapat cuma)

Tinggalkan komen