Arkib untuk Ogos, 2008

“Wahai orang-orang yang beriman! Telah dituliskan (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa sebagai mana yang telah dituliskan (diwajibkan) ke atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.”                                                                  (Al-Baqarah : Ayat 183)

Ahlan ya RAMADHAN. Kami merindui kehadiranmu. Moga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang aku lalui sebelum ini. Inilah bulannya untuk kita melipatgandakan amalan. Aku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna. Agar dapat aku lalui dengan sempurna. Amin.

p/s : Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, aku diamanahkan untuk mengetuai barisan ajk pelaksana program bersama anak yatim an fakir miskin. Ini adalah sedikit iklan. Aku mengharapkan agar kalian yang membaca entri ini dapat membuat hebahan dan lebih baik kiranya kalian berhajat untuk membuat sumbangan walau seringit sekalipun. Sila copy dan paparkan di blog kalian sekiranya mahu. Ini adalah sedikit usaha aku bagi membantu mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan kerana kebetulan aku ada blog.

* * * * * * * * * *

Satu program Jalinan Mesra bersama Anak Yatim dan Fakir Miskin Rumah Kebajikan Nurul Qanaah, 34-A Jalan 10, Taman Batu, 68100, Batu Caves, Selangor akan dianjurkan oleh Biro Perpaduan dan Keharmonian, Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia pada 14 September 2008/14 Ramadhan 1429 Hijriah.

Kami amat mengalu-alukan sebarang sumbangan terutama dalam bentuk kewangan.  Semoga sedikit rezeki yang kita infaqkan di dalam bulan yang mulia ini dibalas berkali ganda oleh Allah S.W.T.

Sebarang sumbangan ikhlas bolehlah disalurkan kepada akaun CIMB sebelum 12 September 2008 :

NAMA: MUHAMMAD ZUHAIRI ZOLKIPLEE

A/C   : 0112-0062524-52-3

H/P   : 017-6265126

Sila sms nama kepada nombor telefon di atas bagi sesiapa yang berhajat untuk menghulurkan sumbangan ikhlas.

 

Kau dan Dia

Posted: Ogos 29, 2008 in Perkongsian, Syukur, tazkirah

Kalau kau dapat sesuatu. Hendaklah kau bersyukur. Ucap terima kasih pada Dia. Tanpa izin-Nya takkan kau nikmati. Apa yang kau miliki hari ini. Terang-terang Dia sudah tulis di dalam surat cinta-Nya,

“Barangsiapa bersyukur atas nikmat kurniaan-Ku nescaya akan Aku tambahkan nikmat-Ku. Dan barangsiapa kufur maka ingatlah bahawa azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim:7)

 

Nah! Kau lihat itu. Dia menjanjikannya. Dia yang Maha Berkuasa. Jadi tak perlu kau ragu. Kau ucap terima kasih, Dia tambah lagi lebih. Jadi, ucaplah syukur. Ucaplah terima kasih. Terima kasih Tuhan.

 

Dia aku kenal sewaktu menjadi fasilitator untuk satu kem motivasi di sebuah sekolah di selatan tanah air. Dia salah seorang pesertanya. Seorang lelaki. Seorang remaja yang masih mengalami proses pencarian identiti. Mulanya aku melihat dia sama seperti peserta-peserta lelaki lain. Sedikit memberontak rasanya apabila barang-barang peribadi seperti telefon bimbit dan jam tangan diambil dan disimpan oleh fasilitator. Sedikit kurang memberi kerjasama diawal kem berlangsung.

Semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah tiba slot warkah untuk ayah bonda. Saat itulah aku melihat bagaimana runtuhnya ego seorang lelaki yang begitu mahal harga air matanya untuk dititiskan. Saat itu aku melihat dia menangis semahunya. Setelah dapat ditenangkan, barulah dia menceritakan sebab mengapa dia terasa begitu sayu apabila disebut tentang ayah dan ibu. Rupa-rupanya ada kisah duka disebalik wajah ceria dan gelak tawa. Dan kisah duka itu terpendam sekian lama tanpa dikongsi dengan sesiapa. Dari kecil sehingga usia meningkat remaja dia simpan segalanya.

Apabila aku cuba  meneroka lebih dalam, dengan rasa empati untuk mendalami dirinya, barulah dia meluahkan segala rasa itu. Kepada aku diceritakan semua. Kalau tidak semua pun, mungkin hampir semua. Katanya ayah dan ibu sudah lama berpisah. Seorang di utara tanah air, seorang di selatan. Sejak dari kecil tidak pernah dia mengungkapkan perkataan “ayah” di hadapan insan itu. Bukan tidak pernah berjumpa tetapi dia bingung apa yang harus dilakukan tatkala berhadapan dengan insan itu. Ya, dia bingung dan tidak tahu apa perlu dilakukan kerana tidak pernah tinggal bersama insan bergelar bapa. Sekarang dia menetap di rumah makciknya. Mulanya aku agak hairan mengapa dia tidak tinggal bersama ibunya. Rupa-rupanya sebelum ini dia tinggal bersama ibunya namun beberapa ketika dahulu dia pernah ditangkap dan dilokap kerana terlibat dengan lumba haram. Dia tidak berlumba tetapi hanya melihat orang lain berlumba. Natijahnya, dia sekali ditangkap bersama mat rempit-mat rempit lain. Disebabkan kejadian tersebut, ibunya  mengambil keputusan untuk menghantarnya tinggal bersama kakaknya di sebuah tempat lain. Tidak lama selepas itu, kakaknya pula berpindah dan dia kemudiannya dijaga oleh makciknya sehingga sekarang. Kalian tentu dapat rasa bagaimana sekiranya tinggal dengan orang lain selain ibu bapa meskipun orang itu saudara mara sendiri. Tentu lain rasanya. Dia hanya pulang ke kampung halaman setiap kali cuti sekolah.

Dalam perjalanan pulang ke kampus, aku ber es em es dengan dia. Tiba-tiba aku tersentak dan merasa sebak apabila dia menghantar satu es em es. “Bang, best tak kalau ada ayah?”. Dia. Via es em es. Aku terdiam beberapa ketika. Mahu kata best takut nanti dia semakin sayu. Mahu kata tak best, siapalah yang tak suka bila punya seorang ayah. Lalu aku ambil keputusan untuk call dia. Sekali lagi dia menangis apabila meluahkan perasaan melalui telefon. Aku sekadar mampu mendengar. Cuba menangkap setiap patah ayat yang ditutur dalam sedu sedan. Dan aku cuba tenangkannya. Apa yang dapat aku sarankan ialah supaya dia berbincang dengan ibunya tentang perasaan yang dialami memandangkan ibu dan ayahnya bukanlah berpisah disebabkan pertengkaran tetapi atas dasar sudah tidak dapat hidup sehaluan. Namun dia menolak kerana tidak mahu menggangu perasaan ibunya, tambahan pula si ibu menghidap penyakit jantung. Dia kata akan cuba mencari inisiatif sendiri untuk meluahkan perasaan kepada bapanya. Aku memberi sokongan. Kepadanya aku katakan akan aku cuba sedaya upaya untuk membantu. Aku juga agak terharu apabila dia meluahkan bahawa dia amat sayangkan fasi-fasi kem tersebut kerana telah memberi kesedaran kepadanya. Dia rasa lebih tenang. Dia rasa gembira kerana aku sudi mendengar masalahnya. Petang selepas tamat kem, dia es em es aku. “Bang, saya nak balik kampung jumpa mak. Saya nak minta maaf pada mak”. Sejuk hati aku bila mendengar khabar itu.

Sepanjang cuti persekolahan kelmarin aku terus berhubungan dengannya untuk mengetahui perkembangan selepas kem. Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Waktu pagi dia menolong orang di kebun getah. Petang pula pergi lagi ke kebun untuk menebas dan membersihkan kebun. Mahu cari duit sendiri. Tak mahu selalu minta duit dari mak. Katanya. Malam pula sekiranya berkesempatan dia ke masjid untuk solat berjemaah. Atau pergi menghadiri kenduri kendara di rumah jiran tetangga. Seronok aku mendengarnya. Apabila aku menceritakan perkembangan dia kepada rakan-rakan yang menjadi fasi di kem tersebut, mereka semua terharu dan gembira. Aku sentiasa mendoakan agar dia istiqamah dalam melakukan kebaikan. Juga mendoakan kejayaannya dalam peperiksaan SPM yang akan menjelang beberapa waktu lagi. Tak lupa untuk memberi sedikit tips sekadar yang aku mampu. Kepada Tuhan aku bermohon dan berdoa agar dia berjaya di dunia dan di akhirat.

 

 

 

 

p/s : Aku dan kawan-kawan tidak kisah untuk pergi ke mana-mana sekolah di seluruh semenanjung  asalkan waktunya sesuai (selain waktu peperiksaan) dan sekiranya ada kelapangan serta kekosongan jadual. Modul yang kami jalankan meliputi modul akademik, modul sahsiah dan modul kepimpinan bergantung kepada kehendak pihak sekolah. Ini kami lakukan bukan untuk mencari gajaran sebaliknya demi merekayasa anak bangsa selain memperkaya pengalaman sepanjang menuntut di menara gading. Untuk pengetahuan kalian, modul di SMK Sri Kluang ini adalah modul sahsiah.

Hari ini, Semalam, Kelmarin

Posted: Ogos 18, 2008 in Kem, Perkongsian

Hari ini. . .

Berat sunggh rasanya untuk bangkit dari tidur pagi tadi. Letih. Kepala pun sedikit pusing. Penat tiga hari berkampung di SMK Taman Sri Kluang, Johor masih menguasai. Namun atas rasa tanggungjawab, aku tetap bangun untuk pergi ke kuliah. Mujur hari ini hanya satu kelas memandang pensyarah untuk dua kursus tiada dan kelas dibatalkan. Syukur.

 

Semalam. . .

Merupakan hari terakhir di Kluang. Aku sungguh terharu apabila melihat adik-adik mula mendapat kesedaran. Aku juga dapat melihat bagaimana tembok keegoan seorang lelaki pecah berderai apabila disentuh dengan nama ibu bapa.  Ada yang apabila aku cuba tenangkan menceritakan masalah yang mereka hadapi. Hampir menitis air mata aku mendengarnya namun atas dasar profesional, aku cuba menahan. Akan aku tulis entri khas sebagai dedekasi buat adik-adik di Kluang. Jam tiga petang, aku dan rakan-rakan seperjuangan pulang dari Kluang. Singgah sebentar di pekan Air Hitam. Tiada apa yang dibeli, hanya sedikit kerepek dan makanan ringan.

 

Kelmarin. . .

Seharian menguruskan adik-adik memang agak meletihkan. Menjelang petang, fasilitator dikejutkan dengan jeritan seorang peserta. Mulanya disangka histeria namun rupanya disebabkan tekanan perasaan yang selama ini dipendam dan akhirnya meletus seperti gunung berapi apabila menjalani modul yang dijalankan. Kebetulan pula mudul kem kali ini adalah modul sahsiah, jadi kemungkinan apabila pelajar tersebut terkenang kisah dan kekhilafan lalu, maka segala yang terpendam itu (yang disimpan di dalam minda bawah sedar) timbul semula. Mujur keadaan terkawal dan pelajar tersebut dapat di rasionalkan semula. Seharian yang penuh dengan iktibar dan pengajaran.

Kelmarin, Semalam, Hari ini.

Posted: Ogos 15, 2008 in Aku, Doa, Kem

Kelmarin. . .

Aku telefon rumah. Semuanya sihat kecuali adik aku yang berumur 7 tahun. Menghidapi demam Chikungunya. Kata mak, adik sudah tak larat bangun. Sendinya lenguh-lenguh. Ya, Chikungunya menyerang sendi-sendi manusia. Aku mendoakan agar adik aku sembuh semula. Supaya dapat kembali bersekolah. Amin. Harap kalian juga doakan.

 

Semalam. . .

Aku berkesempatan mengunjungi MAHA 2008 bersama beberapa orang teman. Hampir tiga jam pusing empat dewan. Memang penat. Itu belum lagi menjengah pameran luar dewan. Tapi paling seronok, dapat rasa pelbagai jenis makanan yang dipromosi (tapi aku tak berani minum segala macam air yang ditawarkan, sebab perut aku agak sensitif. Nanti asyik mahu ke tandas). Hahahaha… Juga aku berpengalaman mencuba Spa Ikan, RM5 untuk 15 minit. Geli. Ada masa akan aku upload sedikit gambar.

 

Hari ini. . .

Jam lapan malam nanti, aku akan bertolak ke Kluang, Johor bersama rakan-rakan seperjuangan bagi menjayakan satu kem motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah menengah di sana. Doakan juga matlamat kami tercapai. Dan selamat pergi dan kemudiannya kembali semula.

Bila Bersama

Posted: Ogos 8, 2008 in Aku, Nasihat, Pandangan

Entri hari ini mungkin agak panjang bagi kalian yang membaca. Seperti biasa, sekiranya kalian rasa bosan untuk membaca, sila klik ikon X di sebelah atas kanan komputer kerana aku tidak mahu membebani otak kalian dengan entri panjang yang entah apa-apa ini. Jadi, untuk entri panjang yang entah apa-apa ini, aku memilih untuk menulis dan berkongsi pandangan tentang persefahaman di dalam sesuatu perhubungan kerana setiap daripada kita tidak pernah dan tidak akan pernah untuk tidak menjalinkan sesuatu perhubungan. Masih belum bosan? Sila teruskan pembacaan. 

Adat bila kita bersama dengan seseorang atau beberapa orang. Tidak kira untuk apa dan atas dasar apa kita perlu bersama, samada sebagai kawan, kekasih atau pasangan, persefahaman perlu ada. Itu satu kepastian. Tak boleh tidak, mesti diwujudkan. Mungkin bagi sesetengah insan, ia satu kewajipan. Dengan adanya persefahaman, barulah perkara lain dapat dilakukan. Dan sesuatu perhubungan itu akan kita rasa ada kenikmatan. Bayangkan bagaimana kalau tiada persefahaman, sekiranya tinggal di dalam sebuah rumah contohnya. Sudah pasti akan terasa serba kekurangan, hidup dibelenggu tekanan dan ketegangan dan akhirnya berkesudahan dengan perpisahan. Bagi aku, ia suatu penyiksaan jiwa sekiranya tiada persefahaman di dalam suatu perhubungan dan pastinya lebih menyiksakan andai terpaksa memutuskan perhubungan selepas kita mencipta harapan dari sebuah pertemuan agar keindahan dan kebahagiaan akan berkekalan.

Justeru itu, kesediaan dan kematangan kedua-dua pihak (atau lebih) amat perlu dalam mewujudkan persefahaman. Suka duka sama dirasa, susah senang sama diharungi. Dan dengan adanya persefahaman, maka hidup lebih ceria tanpa sengketa. Alangkah indahnya hidup bila ada orang yang memahami diri ini. Saling mengambil berat antara satu sama lain. Saling membantu dan sedia menghulurkan tangan tanpa perlu diminta, serta menghargai apa yang telah satu pihak lagi (atau lebih) telah lakukan untuk kita.

Jangan pula bila bersama, kita bersikap mementingkan diri. Mahu orang lain mengambil berat, prihatin dan memahami kita sedangkan kita tidak pernah cuba memahami orang lain. Mahu selalu orang membantu saat kita mahu tetapi berat untuk membantu saat yang satu lagi sedang memerlukan. Memang kata orang dalam sesebuah perhubungan, salah seorang perlu mengalah. Tetapi bukankah lebih baik kalau masing-masing boleh bertolak ansur. Itulah namanya ada persefahaman. Memahami kehendak dan keperluan orang lain dan pada masa yang sama menjaga kepentingan diri sendiri.

Jadi, untuk membina satu perhubungan yang berkekalan, penuh dengan kebahagiaan dan punya keharmonian, binalah dulu persefahaman. Andai persefahaman itu dapat dipupuk diperingkat awal, maka perhubungan itu akan berjalan dengan lancar. Memang diakui perselisihan sukar untuk dielakkan dalam sesuatu perhubungan namun sekiranya ada perkara-perkara yang menjadi pertikaian, pastinya ia dapat diselesaikan secara muhibah kerana masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Sekiranya diawal perhubungan sudah wujud keretakan dan sukar untuk mewujudkan persefahaman, entah bagaimana kesudahan perhubungan itu.

Terpulang pada kalian yang membaca untuk membuat penilaian samada mahu bersetuju atau tidak dengan lontaran idea aku yang serba kekurangan. Ini hanyalah sedikit pandangan berdasarkan pengalaman. Sekadar berpendapat cuma.