Arkib untuk Oktober, 2008

Budi Tiada Bahasa Pun Kurang

Posted: Oktober 31, 2008 in Aku, Peribadi

Versi Edit :

Tajuk di atas hanyalah petikan baris terakhir serangkap pantun yg ada  aku tulis di dalam entri ini. Sila faham betul-betul ya.

Koma.

Kalau dulu ada dari kalangan mereka yang dilatih oleh kalangan kami untuk memimpin. Kini apabila mereka menggantikan kami, kami dipinggirkan. Tak mengapa kata aku.

Kalau dulu yang dari kalangan mereka itu mengormati kalangan kami yang masih memimpin. Kini apabila mereka menggantikan kami, kami diperlekehkan. Tak mengapa kata aku.

Kalau dulu juga, yang dari kalangan mereka itu sering berjumpa kalangan kami yang masih punya kedudukan. Kini apabila mereka mengantikan kami, kami dikata mahu campurtangan. Tak mengapa kata aku.

 

Anak punai anak merbah,

Hinggap ditunggak mencari sarang,

Anak sungai lagikan berubah,

Inikan pula hati orang.

 

Dulu kami di atas, semua pengamal-pengamal hipokritisme mendampingi kami dan mungkin termasuk sebahagian dari kalangan mereka yang sewaktu itu masih di bawah. Mungkin kata aku. Mungkin. Tak mengapa kata aku.

Sekarang kami di bawah, mereka boleh buat apa saja kerana kami ini hanyalah marhein yang mengharapkan sedikit jasa yang diberikan semasa kami di atas, dihargai. Tidak untuk sehingga disanjung. Cukup sekadar dapat tempat berlindung.

Bukan kami tidak mahu memberi komitmen tetapi setahun lalu kami sudah puas. Berilah kami peluang untuk berehat dan bernafas. Itu yang kami harap dari sebahagian daripada mereka yang berada di atas. Tetapi, kalau kami yang telah di bawah ini dirasakan tidak diperlukan lagi dan perlu disingkirkan, apa boleh kami yang telah berada di bawah ini buat?

 

Apa diharap pada padi,

Tinggi rumput dari ruang,

Apa diharap pada kami,

Budi tiada bahasa pun kurang.

 

p/s : Bukan niat menyindir  apa yang dilakukan oleh mereka yang berada di atas kepada kami yang telah berada di bawah semula. Sekadar luahan perasaan kerana ada dari kalangan kami yang telah berada di bawah menyuarakan bahawa yang berada di atas sekarang TIDAK KENANG BUDI.

Kenyataan

Posted: Oktober 30, 2008 in Peribadi

Dalam mengejar masa depan,

Kadangkala terkeluar dari landasan kehidupan,

Kerana kekuatan yang dirasakan,

Rupanya hanya penyedap perasaan.

Jadi,

Lupakan,

Segala keindahan yang sekadar bayangan,

Untuk kuat berdepan kenyataan,

Yang tak selalunya seindah impian.

-TongkangBocor, 30 Oktober 2008

Kenapa Jadi Blogger

Posted: Oktober 22, 2008 in Aku, Blog, Boneka

Kenapa jadi blogger? Persoalan ini sering diutarakan kepada aku oleh teman-teman semenjak aku mula mengenali dunia blog. Seperti yang kita tahu banyak sebabnya. Ada untuk tujuan baik, ada pula untuk sebaliknya. Bagi sesetengah orang yang sederhana seperti aku (aku fikir), blog merupakan tempat untuk meluah rasa, berkongsi cerita dan menyampai berita kepada teman-teman. Mungkin ada yang hanya dikenali di alam maya atau mungkin juga dikenali di dunia nyata. Mungkin kadangkala dalam keadaan beremosi aku akan tulis sesuatu yang beremosi juga tetapi seingat aku, entri-entri emosi aku semuanya masih bertapis. Tak pernah rasanya aku menyerang secara terus. Paling teruk pun akan aku sindir dengan ayat-ayat sinis mahupun entri-entri sinikal. Kata orang, siapa makan cili, dialah terasa pedasnya. Di sini aku cuba senaraikan beberapa sebab yang memungkinkan seseorang untuk menjadi blogger.

1. Ada orang yang menjadi blogger semata-mata untuk menyebar fitnah dan menyemai kebencian dan kekacauan. Yang ini paling aku tidak suka. Kenapa harus menggunakan teknologi untuk melakukan kerosakan?

2. Ada penulis blog yang lebih cenderung menceritakan kisah peribadi. Yang ini aku tidak berapa kisah. Sekurang-kurangnya pengalaman tersebut boleh dijadikan pengajaran buat yang membaca. Tetapi jangan pula terlalu mengada-ngada.

3. Ada juga penulis yang menjadikan blog sebagai tempat menunjukkan bahawa dialah sebaik-baik manusia yang ada di dunia mendewa-dewakan diri sendiri. Segala kebaikannya diceritakan walhal kalau dilihat di dunia nyata, tidaklah dia sehebat yang dicerita.

4. Ada pula penulis yang menjadikan blog sebagai tempat meraih simpati. Yang ini susah untuk kita nilai sebab kita tak tahu situasi dan kondisi sebenarnya.

5. Ada penulis blog yang menjadikan blog sebagai tempat untuk membela diri, mengatakan dia betul dan orang lain salah. Isu kecil sengaja diperbesar dan digembar-gemburkan dan akhirnya menjadi barah. Tambahan pula dengan komen-komen pengunjung yang sesetengahnya positif dan sesetengah yang lain negatif. Di sinilah sepatutnya digunakan fungsi tapisan komen supaya komen yang buruk-buruk itu tidak terkeluar. Bukan apa, bimbang jadi fitnah pula kerana setiap orang mempunyai interpretasi berbeza terhadap sesuatu isu.

Banyak lagi sebab kenapa orang menulis blog. Terpulang pada nawaitu kalian. Cuma pesan aku, gunalah ruang maya ini sebagai tempat untuk kita berkongsi pengalaman dan pengetahuan, bukan sebagai tempat menyemai bibit-bibit perpecahan dan perbalahan. Kalau ada isu-isu yang boleh diselesaikan secara berhemah dan berhikmah, mengapa perlu dihebah? Aku tak tahu. Mungkin ada yang akan terasa dengan entri kali ini tetapi apa yang aku tulis ini adalah melalui pemerhatian dan pembacaan di dalam setiap bog yang pernah aku singgah. Hanya kemaafan yang mampu aku pohon sekiranya ada diantara kalian terasa.

p/s : Bagaimana pula dengan kalian? Kenapa jadi blogger?

 

Penipu

Posted: Oktober 17, 2008 in Aku, Bengang, Perasaan, Sindiran

Kalau mahu menipu, biar kena pada caranya. Kalau kau rasa penipuanmu akan terbongkar dalam masa terdekat, lebih baik berterus terang. Bimbang nanti akan meluap-luap lagi amarah orang yang kau tipu. Lebih-lebih lagi orang yang kau tipu itu mempercayai engkau. Tahu-tahu selang beberapa ketika, penipuanmu terbongkar dalam cara yang kau tidak jangka. Baik orang yang kau tipu itu mungkin tak akan marah dengan apa yang kau lakukan, terus dia marah disebabkan engkau telah menipu. Aku cuma ingin memberitahu, susah kalau kita mahu menipu. Setiap perkara berkaitan perlu kau manipulasi agar penipuanmu tidak terbongkar. Betapa hebatpun keldai meniru suara kuda, pasti akan terdengar sumbangnya. Betapa hebatpun kau mengolah cerita, pasti ada celanya. Tak sangka ya, menipu juga ada seninya. Jadi kalau kau rasa tak mampu jadi penipu yang baik, janganlah cuba untuk menipu. Lebih-lebih lagi orang seperti aku. Sesiapa yang rasa ada menipu aku, ketahuilah bahawa aku telah tahu cerita sebenar. Tapi aku tak marah kerana kau tahu bukan, aku seorang yang baik dan penyabar. Sedikit ingatan di sini, lain kali kalau nak menipu, pastikan tiada seorangpun tahu kejadian yang cuba kau manipulasikan itu supaya orang lain tersebut tidak dengan secara tidak sengaja memberitahu aku. Kalau kau cuba menipu lagi dan terbongkar juga lagi, jangan risau kerana sekali lagi ingin aku tegaskan. Aku seorang yang baik dan penyabar. Cuma aku harap kalau ada apa-apa yang berlaku yang telah kau lakukan yang kau rasa mungkin akan menyebabkan aku marah, jangan takut untuk memberitahu perkara sebenar kerana untuk kali ketiganya aku menegaskan di sini bahawa aku adalah seorang yang baik dan penyabar. Apa salahnya berterus terang, bukankah lebih mudah dan kau tak perlu pening-pening? Terpulanglah.

Rendang Daging Perisa Ayam

Posted: Oktober 10, 2008 in Chikungunya, Cucuk, Darah, Jarum

Tajuk di atas pun takde kene mengena dengan entri aku hari ni. Cuma aku sekali lagi nak share pengalaman kene demam entah ape kebenda ni dalam satu kaedah penceritaan santai dan tidak formal, ewah… Semalam (9/10) hari keempat aku beraya di Pusat Kesihatan. Alhamdulillah suhu badan semakin kurang iaitu 37.1 darjah celcius. Selepas check suhu badan dan tekanan darah, doktor suruh aku buat ujian darah atau nama kampungnya blood test sekali lagi. Aku pun pergi la ke kaunter makmal dan selepas ambil dua bekas sampel, aku masuk ke tempat nak buat ujian tu. Masa tu ada seorang student Cina tengah diambil darahnya. Tapi aku tengok misi tu cucuk lain macam je, bukan main lama lagi sebelum jarum yang besar tu ditarik keluar dengan sampel darah. Siap mintak tolong kawan dia pulak. Aku dah mula rasa seriau. Bila tiba turn aku, aku doa banyak-banyak, huhuhu… Jangan bocor tangan aku sudah, hahaha… Kali ni giliran tangan kiri aku jadi mangsa jarum besar tu. Lepas misi ikat lengan aku dia tepuk-tepuk area pelipat siku aku untuk cari urat. Aku dah dup dap dup dap, maklumlah orang elergik bab cucuk mencucuk ni, hahaha… Dia jumpa je urat yang bakal jadi mangsa tu, dia tonyoh sikit ubat kebas dan pastu terus cucuk.. Adui, sakit pulak aku rasa kali ni, tak macam hari Selasa lepas, relak je… Aku tunggu, bukan main lama dia nak cabut jarum tu, dekat setengah minit gak.. Lutut aku dah menekan tepi meja tahan sakit tapi muka mantain macho beb, hahaha… Kebetulan masa tangan aku tengan dicucuk, ada seorang budak kecik perempuan umur lebih kurang empat tahun pun nak diambil sampel darahnya.. Kesian aku tengok budak tu, bila misi keluarkan jarum je terus menangis sekuat hati lalu dengan susah payah misi ambik sampel darah budak tu. Hilang kejap sakit kat tangan aku yang kene cucuk. Rupa-rupnya dah dicabut jarumnya, hehe… Lebih kurang 20 minit lepas buat ujian darah, result pun keluar. Doktor kata satu sampel akan dihantar ke hospital untuk ujian chikungunya dan satu lagi peringkat dalaman. Untuk keputusan ujian yang dibuat peringkat dalaman, doktor dapati platlet darah aku berkurang dan beberapa benda seperti W.B.C, Neutrophil, Lympocyte dan Monocyte (jangan tanya aku ape benda semua tu, aku pun tak paham) juga berkurang. Walaupun masih normal, doktor agak risau sebab jumlah platlet ujian kali pertama adalah 208 tapi untuk ujian kali ni, jumlahnya berkurang jadi 150. Normal, cuma ada penurunan yang ketara. Doktor masih belum berpuas hati, ditambahnya ubat tahan sakit yang lebih power iaitu T. Arcoxia 90mg dan seperti yang aku jangka, hari Isnin nanti aku akan sekali lagi kene melawat pusat kesihatan untuk ujian darah kali ketiga, huhuhu… Jeng jeng jeng…

p/s : Tangan kiri aku yang dicucuk semalam masih terasa sakit.

p/s/s : Tadi ku terpaksa pergi kuliah untuk buat presentation sebab minggu ni last untuk present.

p/s/s/s : Malam ni aku terpaksa mengikuti lawatan ke negeri Darul Naim sehingga hari Ahad, bertolak jam 10.30pm. Walaupun badan masih sengal-sengal, aku terpaksa menjaga hati pensyarah yang telah terguris dengan kerenah pelajar kelas kami.. Alahai..

Lemang rebus, Ketupat bakar

Posted: Oktober 8, 2008 in Aku, Chikungunya

Inilah gula-gula raya aku, hahaha…

Tajuk di atas tak ada kena mengena dengan apa yang aku nak tulis.. Cuma aku nak kongsi sakit entah ape kebenda yang aku tengah deritai sekarang ni, cewah… Entah kuman ape yang menggigit-gigit sendi aku ni, aku pun tak tau… Sakit bukan main lagi.. Masuk hari ni dah 3 hari berturut-turut aku bertandang ke pusat kesihatan universiti.. Aku syak aku kene demam chikungunya tapi doktor kata tak confirm lagi.. Semalam sudah buat ujian darah.. Mak oii, bukan main takut aku masa misi nak cucuk jarum besar tu, hahaha… Aku ni alergik gak tengok darah, uhuk3x.. Esok (9/10) kene beraya lagi kat pusat kesihatan, doktor suruh buat ujian darah sekali lagi.. Alahai… Sakit yang aku tengah alami ni doktor cuma bagi ubat tahan sakit, paracetamol, antibiotik dan multivitamin.. Besar-besar pulak tu ubatnya, adeh… Orang lain makan kuih almond london, cornflake madu, kuih semprit dan lain-lain yang sama waktu dengannya. Aku pulak kene makan Ponstan/Mefenamic Acid 500mg, Paracetamol 500mg, Erythromycin Ethylsuccinate 44mg dan Multivitamin. Kalau tengok nama bukan main sedap lagi tapi rasanya, perghhh… Pahit.. Tekak memang dah rasa ubat je ni. Minum air rasa ubat. Makan nasi rasa ubat. Makan kuih raya pun rasa ubat. Alahai. Tapi malam semalam memang aku langsung tak dapat tiduk lena. Mana taknya. Semua sendi-sendi rasa macam nak tercabut. Pinggang rasa nak putus. Bahagian bawah rusuk macam kena cucuk-cucuk. Pulak tu, kaki rasa sejuk macam kena rendam ais. Kepala pulak rasa macam kene lumur minyak urut yang panas giler tu. Ape kes laa.. Nasib baik ade rumet kesayangan yang tolong picit-pcit sikit tangan aku, hehehe.. Terima kasih budak epal.. Mujur pagi tadi bangun keadaan reda sikit.. Petang tadi jumpa doktor, dia bagi ubat tahan sakit. Baru la boleh nak bergerak selesa sikit. Sempat jugak la aku kemas bilik yang berserabut macam kapal karam.. Sekarang ni aku masih terbayang-bayang lagi jarum besar yang akan mencucuk tangan aku esok hari.. Dalam seminggu ni memang aku tak dapat berkuliah. Mulanya doktor bagi MC 2 hari, Isnin dan Selasa. Suhu badan hari Isnin 39 darjah celcius. Hari Selasa jumpa doktor lagi, suhu masih tinggi. 38 darjah celcius. Doktor tambah MC sehari untuk hari Rabu. Tadi aku pergi sekali lagi. Suhu kurang sedikit, 37.5 darjah celcius. Doktor tak puas hati, ditambahnya MC lagi 2 hari hingga hari Jumaat. Aduhai… Mujur doktor yang merawat aku tu baik. Terima kasih Dr. Aditya Adawiyah Bt. Darwis, bilik No.10 PKU UPM..

p/s : entri hari ni aku main belasah je, malas nak susun ayat. sakit masih terasa lagi ni.

Kembali

Posted: Oktober 5, 2008 in Aku, Cuti, Tugas

Hari ini. Aku kembali. Setelah seminggu bercuti. Dari kepeningan seorang pelajar universiti. Juga hari ini bermula satu misi. Untuk menyiapkan tugasan yang masih berbaki. Ada empat lagi. Tidak lupa mengulang kaji. Kerana peperiksaan akhir dua minggu sahaja lagi. Aduhai! Lamanya rasa nak tunggu cuti datang lagi. Kira-kira sebulan dari hari ini. Seperkara lagi. Blog ini takkan berkapuk lagi. Dengan entri-entri basi. Hihihi… (saje nk bagi berima, huh..). Sementara masih terasa lagi. Ingin aku ucapkan kepada semua pengunjung blog ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri.