Arkib untuk Disember, 2008

Selamat Tahun Baru

Posted: Disember 31, 2008 in Syukur, Tahun baru

Selamat Tahun Baru 2009 Masihi. Yang berlalu telah bersemadi, yang mendatang masih misteri, yang sedang kita lalui mesti dihadapi. Juga masih belum terlambat rasanya aku ucapkan Salam Maal Hijrah 1430. Hijrah direnungi, perjuangan dihayati, risalah Rasul dari Ilahi sama-sama kita taati. Berdoalah kita semoga kebaikan tahun lalu akan berterusan dan tahun ini akan dipenuhi dengan limpahan rahmat Yang Maha Kuasa.

“Dan diantara mereka ada yang berkata, Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan kau jauhkanlah kami daripada azab api neraka.”

Anak penghulu bersuka ria,

Membawa bekal masakan Cina,

Masa berlalu usah disia,

Kelak menyesal tiada berguna.

 

p/s : Aku mendoakan yang terbaik untuk dia.

Advertisements

Permata Berharga Terbiar Merata

Posted: Disember 15, 2008 in Dia, Peribadi, Tauladan

Diam tak diam hampir lapan bulan aku mengenali dia. Pelbagai cerita suka duka telah dia ceritakan kepada aku. Dari kehidupan remajanya yang terlalu bebas dalam pergaulan yang dia mengakui pernah menjadi bohjan yang sering bertukar pasangan sehinggalah kepada masalah peribadi berkaitan keluarga yang menyebabkan dia jadi begitu bermasalah suatu masa dahulu. Terkesan aku mendengar ceritanya.

Sejak kecil lagi kehidupannya telah terabai disebabkan perceraian kedua ibu bapa. Selepas bercerai, dia selalu menjadi mangsa keadaan apabila menjadi rebutan kedua ibu bapanya. Pernah dua kali ibunya ‘menculik’ dia yang membawa kepada pertengkaran di balai polis. Di balai, sebelah tangannya ditarik oleh ibu manakala sebelah lagi ditarik oleh pekerja bapanya. Dia menjadi seperti anak patung yang menjadi rebutan dua orang kanak-kanak. Kisah ini diceritakan sendiri oleh ibunya. Dengan pengaruh yang dimiliki oleh si bapa,  akhirnya hak penjagaan diberikan kepada bapanya dan dia dipisahkan dari ibu yang melahirkannya ke satu tempat yang agak jauh untuk tinggal bersama bapanya. Ibu mana yang tidak sayangkan anaknya. Sekali sekala ibunya secara diam-diam akan pergi ke tempat tinggal anaknya. Walaupun sekadar melihat dari jauh, namun itu cukup bagi si ibu untuk mengubat kerinduan.

Dia kemudiannya telah ditinggalkan bersama nenek di kampung dan di situlah kehidupannya menjadi liar sedikit demi sedikit lantaran pergaulan dengan rakan sebaya yang nakal. Maklumlah, budak-budak mana tahu memilih mana baik mana yang buruk lebih-lebih lagi tanpa bimbingan kedua orang tua. Ayah telah berkahwin lain, begitu juga dengan ibu. Tetapi sikap ayahnya yang lepas tangan memburukkan lagi keadaan. Mana taknya, anak bersama isteri baru dilayan dengan baik dan segala kemahuan dituruti tetapi anak bersama isteri lama dianggap semuanya jahat dan tidak baik. Dia sendiri menceritakan bagaimana saat dia meminta ayahnya membelikan buku sekolah tetapi tidak dipenuhi sehinggalah hampir hujung tahun barulah dibelikan buku itu. Saat ibu bapa lain datang ke sekolah mengambil buku laporan pelajar semasa hari terbuka sekolah, dia hanya melihat dan menanti ayahnya datang namun sehingga tamat waktu persekolahan ayahnya tidak muncul.

Disebabkan itu minatnya untuk belajar semakin hari semakin luntur. Tambahan pula rakan-rakan yang mempengaruhi. Sekolah lima hari, dua hari saja dia datang dalam seminggu. Bergaduh menjadi perkara biasa. Ponteng kelas dan tidak menyiapkan kerja sekolah telah menjadi kelaziman. Akhirnya dia berhenti sekolah semasa tingkatan tiga. Yang dia tahu hanyalah untuk mencari wang untuk memenuhi kehendknya yang gila-gila, merempit sini sana tanpa mengira masa.  Bayangkanlah bagaimana terdesaknya dia mahukan duit sehingga pernah dia membantu pengedar dadah untuk membungkus dadah dalam pek-pek kecil sebelum diedarkan. Mujur saja dia tidak terlibat sama terjerumus mengambil dadah.

Setelah hampir enam belas tahun hidupnya terbiar, dia akhirnya tinggal bersama kakak sulungnya yang telah mempunyai kerjaya yang kukuh dan boleh dikatakan hidup senang. Kemudiannya dia membantu kakaknya yang kedua menjalankan perniagaan yang dibuka. Cukuplah untuk belanja dan duit poket sehariannya. Kehidupan liar mula dia tinggalkan sedikit demi sedikit dan sehingga hari ini dia masih mampu mengawal dirinya. Apa yang aku lihat pengalaman silam akibat diabaikan sewaktu kecil telah menjadikannya seorang yang begitu berdikari hari ini. Ini terbukti apabila umurnya mencecah lapan belas tahun pada tahun ini, dia telah memiliki motosikal sendiri hasil simpanan wang yang diperolehi daripada membantu kakaknya berniaga. Sanggup tak makan tengahari kerana mahu berjimat mengumpul wang membeli motosikal tersebut.

Apa yang termampu aku lakukan semenjak aku mengenali dia adalah menasihat dan terus menasihatinya supaya tidak mengulangi perbuatannya dahulu dan sentiasa mendoakan agar dia menjadi insan yang berguna walaupun telah melalui pelbagai pengalaman hitam. Bagi aku, dia telah aku anggap seperti adik sendiri. Moga-moga dia terus tabah menghadapi hari mendatang. Ya Allah, Kau lindungi dan jauhkanlah dia daripada segala keburukan dan kejahatan jin, syaitan dan manusia dari dunia sampai akhirat. Ameen…

Dua Puluh Satu dan Satu Hari

Posted: Disember 11, 2008 in Aku

Hari ini umur aku sudah dua puluh satu dan satu hari… Aku terfikir, apakah yang telah aku lalui sepanjang dua puluh satu tahun lepas. Segala  pengalaman, kegembiraan, kesedihan, putus asa, kecewa, bahagia banyak telah aku rasa. Moga-moga ia mematangkan aku dan menjadi pengajaran dan pedoman dalam melalui kehidupan yang akan datang. Sehingga ke penghujungnya yang aku sendiri tak pasti bila. Inilah aku, yang wujud dan dibentuk menjadi seperti yang dilihat pada hari ini. Terimalah aku seadanya. Aku cuba malakukan yang terbaik walaupun aku bukanlah yang terbaik… Terima kasih buat kalian yang masih dapat menerima kehadiran aku yang biasa-biasa saja ini…

p/s : Sekarang aku dalam proses menghabiskan membaca buku ‘Ada Bagus Bagusss’ karya Dr. HM Tuah. Sangat bagus tatkala kita kini sedang dihimpit tekanan akibat tuntutan hidup yang sangat memeningkan.

Salam Eidul Adha

Posted: Disember 8, 2008 in Aku, Doa, Raya

Salam Eidul Adha buat semua kenalan di dunia nyata mahupun diruang maya ini. Moga iktibar pengorbanan Ibrahim dan Ismail a.s dapat kita hayati dan jadikan pedoman sepanjang menempuh kehidupan yang menuntut pelbagai pengorbanan ini.

‘Ya ALLAH, kami memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendorong ke arah rahmat-Mu dan keampunan-Mu dan selamat daripada segala dosa, memperoleh segala kebaikan, mendapat kejayaan dengan syurga dan dijauhi dari neraka. Ameen…