Arkib untuk November, 2009

Dua

Posted: November 19, 2009 in Aku, Blog, Perkongsian, Syukur, Terima kasih

18 November 2009. Sedar tak sedar dua tahun telah berlalu semenjak aku mula menulis di ruang maya. Cepat sungguh masa berlalu meninggalkan kita. Tidak terasa. Banyak yang telah aku coretkan di sini sejak blog ini di buka. Alah, penulisan yang biasa-biasa saja. Tiada yang istimewa untuk kalian baca. Cuma mungkin apa yang aku tulis ini bermakna untuk aku kongsikan bersama. Itu saja. Diharapkan agar kalian yang sudi menjengah sentiasa memberi sokongan dan pandangan untuk aku ambil iktibar daripadanya. Terima kasih ya!

Advertisements

Selamat Bercuti

Posted: November 15, 2009 in Aku, Cuti, Kampung, Semasa, Syukur, UPM

Selamat bercuti aku ucapkan kepada rakan-rakan sempena cuti semester ini. Wah! Sedar tak sedar, ini adalah cuti semester terakhir untuk aku. Hampir empat tahun, segala begitu pantas berlalu.

Bulan matahari terbit dan terbenam. Silih berganti siang dan malam. Masih sama nombor pada muka jam, cuma semakin banyak ia berpusing, semakin jauh kita meninggalkan masa silam. Bagi yang perjalanan hidupnya lancar seperti direncana, teruslah menggapai apa yang diidam. Tidak pula terlambat bagi mereka yang masih kelam.

Puncak gunung tertinggi menjanjikan pemandangan  indah dari atasnya tetapi untuk sampai kepuncak itu, banyak ranjau dan liku sepanjang laluan yang perlu diredah.Ya, begitu juga hidup. Segalanya nampak mudah, namun sebenarnya susah. Jadi, jangan ambil mudah apa yang nampak mudah.

Semoga Tuhan membantu sepanjang perjalanan hidup ini. Membalas jasa ayah dan ibu sudah tentulah menjadi prioriti. Aku juga impikan kehidupan sendiri. Punya anak dan isteri. Tapi itu mungkin masih jauh lagi. Yang penting, aku harus sempurnakan segala misi dan visi yang aku tetapkan selagi masih ada sisa-sisa mengutip cebisan-cebisan ilmu di alam universiti.

Sekarang, mahu siap-siap berkemas untuk pulang ke kampung. (‘:’)

footer

Entri Khas Buat Sahabat

Posted: November 10, 2009 in Aku, Dia, Doa, Harapan, Peribadi, Perkongsian

Lama. Empat tahun lamanya berpisah tanpa khabar berita. Sejak berlaku peristiwa yang membuak sengketa dek kedangkalan fikiran yang tidak terduga. Bukan tidak berusaha bahkan puas dijejak di ruang maya dengan harapan menggunung tinggi tapi semuanya hampa. Laman Friendster dan muka-buku turut menjadi tempat aku menjejak dia. Setiap rakan yang tersenarai di laman tersebut aku cari dengan harapan dapat menjejak dia melalui kawan-kawan lama. Akhirnya pada minggu lepas, doa aku untuk berhubung dengan dia termakbul jua. Betapa berbunga hati, kembang segar jiwa terasa mengimbas segala kenangan lama ketika bersama. Tapi, aku dapat rasa ada sesuatu yag tak kena dengan dia semenjak berhubung semula. Aku tahu dia sedang berduka. Aku dapat merasakan dia seperti sedang kecewa. Melalui waktu-waktu sukar dalam salah satu episod kehidupannya.

Wahai sahabat, usah biarkan segala duka menghambat jiwa. Ya, memang aku akui kesukaran yang dilalui selalu sahaja menghantui rasa. Tapi kita manusia biasa. Tak lepas dari sebarang dosa. Selalu saja alpa. Bukan engkau sahaja bahkan aku juga. Tapi peluang kita masih ada selagi badan berkandung nyawa. Hatta apabila tiada seorang bersama kita, jangan lupa Tuhan masih ada. Adukanlah pada Dia. Dan mulai sekarang, engkau mempunyai aku untuk berkongsi segala rasa. Suka, duka, gembira, bahagia. Kalau gembira, kita ketawa bersama. Kalau duka, aku sedia pinjamkan bahu ini untuk menjadi tempat kau mengalirkan air mata. Itu janji aku selagi mana kau masih mahu menerima aku seadanya. Pandanglah masa depan dengan penuh harapan di dada. Aku suka dengan kata-kata yang aku ciptakan ini :

Untuk maju ke depan, tinggalkan segala yang dibelakang tetapi jangan sekali-kali melupakannya

p/s : Aku mahu kongsi satu lagu buat kalian. Klik di sini untuk muat turun lagu Jalan Ku Pulang dendangan kumpulan UNIC. Dengar dan hayati dengan sepenuh hati.
footer