Arkib untuk Disember, 2009

Terlajak

Posted: Disember 28, 2009 in Aku

Terlajak perahu undur semula, terlajak laku?

.

.  .

.  .  .

Pilihlah bahagia atau derita.

Advertisements

Dua Puluh Dua

Posted: Disember 10, 2009 in Aku, Doa, Syukur, Tahun baru

Dua puluh dua. Cepat benar masa berlalu. Hari ini genap umur aku dua puluh dua tahun. Kata orang tua-tua, pejam -celik-pejam-celik, dah dewasa. Perjalanan menuntut ilmu di menara gading bagi mendapatkan segulung ijazah bakal ditamatkan kurang setengah tahun lagi. InsyaAllah, kalau tiada aral melintang, dipinjam umur yang panjang, aku akan menjalani latihan praktikal pada bulan Febuari akan datang.

Tik. Tik. Tik. Saat aku menulis entri ini jam masih terus berdetik. Meninggalkan kita tanpa boleh berpatah balik. Banyak perkara sebenarnya yang menyebabkan neuron-neuron di dalam otak aku berbelit-belit sambungannya. Iyalah. Bila habis belajar nanti sudah tentu aku akan melangkah ke alam pekerjaan. Semestinya juga tanggungjawab yang dipikul akan lebih berat kerana pasti orang tua aku mahu pulangan daripada pelaburan mereka kepada aku selama ini. Ironinya, aku juga punya impian tersendiri yang perlu disempurnakan mengikut tempoh masa yang aku harapkan. Bukan mahu pesimis dengan masa depan, cuma aku masih tidak tahu samada aku mampu mencapai apa yang diinginkan pada masa yang diharapkan. Sambil berfikir-fikir begini, jam masih terus berdetik meninggalkan setiap saat yang lepas menjadi sejarah.

Harapan sempena ulangtahun kelahiran ini, biarlah hari-hari mendatang dapat aku lalui dengan sebaiknya biar apapun cabarannya. Aku juga mendoakan semoga mereka-mereka yang aku sayangi akan terus berada disisi aku untuk aku terus menyayangi mereka. Buat teman-teman di dunia nyata atau di ruang maya, terima kasih atas segala kebaikan yang kalian berikan kepada aku walaupun sebesar zarah atau satu perkataan sekalipun. Mungkin aku yang leka ini tidak menyedari kebaikan kalian itu, maka aku serahkan pada Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang untuk memberi ganjaran berlipat kali ganda. Aku tidak mengharapkan hadiah pemberian tetapi aku mengharapan doa daripada kalian yang sudi membaca agar aku sentiasa mendapat kebaikan dan dimurahkan rezeki agar aku dapat berbuat bakti serta sentiasa tunduk dan bersyukur kepada-Nya.

Dua puluh dua. Ia sekadar angka yang menunjukkan pertambahan usia. Selama aku hidup di atas muka dunia ini, aku telah mengalami evolusi hasil daripada pengalaman yang telah dilalui selama ini. Hari-hari yang telah berlalu menjadikan aku seperti yang ada pada hari ini. Peristiwa-peristiwa yang aku tempuhi, manusia-manusia yang aku temui, tempat-tempat yang telah aku pergi dan ilmu-ilmu yang telah aku pelajari, semuanya terangkum dan saling melengkapi. Banyak lagi yang perlu aku terokai dalam hidup ini.

Kehendak-Nya jualah yang menentukan perjalanan hidup hamba. Wahai Tuhan Sang Pencipta Segala, Sang Penguasa Seluruh Jagat Raya, Tuhan yang mengutus sekalian Rasul dan Anbia, Tuhan yang bersemayam di ‘Arasy yang mulia, Kau kurniakan segala kebaikan untuk aku rasa, juga untuk kedua ibu bapaku yang rela berkorban apa sahaja. Ya Allah, kalau rezekiku ada di langit, Kau turunkan ia berilah padaku. Kalau rezekiku ada di laut, Kau daratkan ia berilah padaku. Kalau rezekiku ada di dalam bumi, Kau keluarkan ia berilah padaku. Dan jika rezekiku sudah hampir denganku, Kau berilah aku peluang untuk menikmatinya. Ya Allah, kalau rezekiku jauh, Kau dekatkanlah. Yang lambat Kau percepatkanlah. Yang haram Kau halalkanlah. Jadikan aku seorang yang cukup dengan rezeki yang Kau beri. Jadikanlah aku seorang yang tahu bersyukur, banyak memberi dan sedikit menerima.