Arkib untuk Jun, 2010

Melaka River Cruise

Posted: Jun 13, 2010 in Aku, Dia

Kenal dia tak lama tapi cukup buat aku rasa gembira. Mesra bagai ada ikatan saudara, bahagia tapi bukanĀ  pula pasangan bercinta. Moga ikatan yang terbina tetap terjaga. Bertuah rasa dapat berjumpa dia .Entah kenapa, rasanya seperti hati tertinggal di Melaka. Perasaan berbunga-bunga.

Advertisements

Salam Siaran

Posted: Jun 10, 2010 in Akhir, Aku, Blog, Peperiksaan, Perasaan, UPM

Lama benar rasanya blog ini tidak dijenguk hingga sudah ‘berhabuk’. Hinggakan hampir terlupa kata laluan untuk log masuk. Bukan sengaja mahu biarkan cerita yang mahu dikongsi tersimpan sampai berkapuk tetapi latihan praktikal yang dilalui selama tiga bulan sudah cukup membuatkan aku rasa cukup sibuk. Mungkin kerana baru pertama kali mengalami pengalaman masuk ke dunia pekerjaan sebenar sudah cukup membuat aku pening-pening lalat seperti orang mabuk. Uhuk uhuk uhuk (terbatuk).

Buah kuini pohonnya rendang,

Dahan patah menimpa ular,

Saya ini ilmunya kurang,

Kalau salah minta diajar.

Hari ini terbuka pula hati untuk berkongsi setelah sekian lama jemari ini tidak menari. Lenguh juga lah sendi sementara menanti otak mencari idea untuk dituliskan di sini. Entah macam mana hari ini aku terjaga seawal 5 pagi. Ini mesti gara-gara 10 Jun yang dinanti. Ya, hari ini memang dinanti kerana keputusan peperiksaan akhir semester kedua sesi 2009/2010 akan diumumkan secara rasmi. Punyalah berdebar hati, celik mata terus buka ESMP (sistem maklumat pelajar universiti). Leganya rasa hati bila melihat paparan gred yang tertera kerana menepati seperti yang dihajati. Walaupun tidaklah sebaik mana, namun aku bersyukur kepada Ilahi. Dalam kelekaan aku, Dia masih menyebelahi.

Mahkota zamrud bertatah intan,

Pakaian masyhur Maharaja China,

Sembah sujud pada-Mu Tuhan,

Tanda syukur hamba yang hina.


(Dah penat mahu fikir ayat berima, hahaha…)

Keputusan kali ini sangat penting kerana ia akan menentukan pointer keseluruhan sepanjang pengajian selama empat tahun. Alhamdulillah, walaupun bukanlah kepujian kelas pertama tetapi keputusan PNGK keseluruhan boleh dikatakan selesa. PNG semester pula untuk kali ketiga aku dapat mengekalkan kepujian dekan. Bila difikir-fikir semula, alangkah baiknya kalau dari awal lagi keputusan aku begini. Tapi sekarang bukanlah masa untuk menyesali perkara yang lepas. Salah aku juga yang tidak bersungguh dari mula dahulu. Bak kata mat saleh, the past is history, the present is only, the future is mystery.

Buah pinang kulitnya merah,

Jatuh bergolek masuk ke dulang.

Apa dikenang perkara sudah,

Baik dikelek buruk dibuang.

Terima kasih tak terhingga aku ucapkan kepada semua terutamanya ayah dan emak yang telah berhabis wang ringgit sepanjang pengajian, pensyarah-pensyarah yang telah menjadi telaga ilmu selama ini, rakan-rakan yang memberi sokongan dan tunjuk ajar dan yang sentiasa menjadi kenangan, warga SMK Durian Daun, Melaka yang banyak membantu budak hingusan ini sepanjang menjalani Latihan Mengajar dan Praktikum Kaunseling (LMPK). Kalau tidak kerana kalian, entah di mana aku sekarang ini.

Tanjung Tuan tanah penghujung,

Tempat penggawa menjaring ikan,

Budi tuan tetap kujunjung,

Sampai nyawa bercerai badan.

Terima kasih sekali lagi atas segalanya…