Arkib untuk Julai, 2010

Jalan Aji

Posted: Julai 21, 2010 in Aku, Cuti, Dia, Segamat

Di daerah Segamat ini ada satu tempat yang agak terkenal. Jalan Aji namanya. Di belakang Dataran Segamat. Di sini ada sebaris lapan belas buah gerai bumiputera yang menyimpan seribu satu macam cerita. Oh ya, bagi kaum wanita (dan lelaki juga) yang pernah membeli kain di Jakel Trading, di Jalan Aji inilah mulanya syarikat tekstil terkenal itu mula membina empayar perniagaannya.

Saya telah berkeliaran di sini sejak kecil lagi dan mula membantu pakcik saya berniaga di gerai bumiputera ini semenjak selepas SPM lagi. Ya, dikedai menjual dan membaikio alat tibang dan sukat yang satu-satunya ada di Segamat ini. Mula beroperasi sejak tahun 1984. Sehinggalah setiap kali cuti semester semasa pengajian dulu, kalau mahu mencari saya, carilah di Jalan Aji dan kalian pasti jumpa saya. Dan saya pada saat menulis entri ini sedang berada di Jalan Aji.

Saya suka berada di sini kerana terlalu banyak kerenah manusia yang boleh diperhati dan dipelajari di sini. Dahulu ada seorang lelaki sakit jiwa bergelandangan di sekitar jalan ini. Bila dia singgah di kedai-kedai, dia akan minta ‘seposyen’ (sepuluh sen) dan saya selalu mengenakan dia. Saya kata tiada sepuluh sen, cuma ada dua puluh sen dan kemudian dia akan terus berlalu pergi dan singgah di kedai-kedai lain untuk meminta ‘seposyen’. Kini dia sudah tiada lagi. Khabarnya sudah meninggal dunia dilanggar kereta. Innalillahi wa Inna Ilaihi Raji’un. Kemudian datang pula beberepa orang lagi gelandangan jalanan seperti encik seposyen. Ada yang pakai seluar pendek tanpa baju dan bertopi kuning buruh kontrak yang suka berkawad. Ada lelaki kusut masai yang bila datang meminta duit atas alasan sebagai zakat kepadanya dan akan memberikan ‘ceramah’ kalau kita tidak melayannya (saya pernah terkena.. Alahai…).

Di sini juga ada seorang mak cik yang begitu gigih mengayuh basikal di tengah panas sekitar jam 2.30 petang untuk menjual kuih setiap hari. Yang pasti, walau apapun kuih yang dijualnya, pasti dia akan jerit kuih itu sedap dan panas. Kalau karipap yang dijual, maka jeritannya berbunyi “Karipap sedappp cikkkk… karipap sedapppp… Paaanasss.. paaanasssss”. Dan aku adalah antara pelanggan tetap mak cik itu.

Menjelang musim-musim perayaan pula, tak kiralah Hari Raya atau Tahun Baru Cina atau Deepavali atau Krismas, pasti kawasan ini akan meriah dengan promosi jualan murah kain Jakel. Yang hairannya, orang Melayu saja yang berpusu-pusu membeli kain walau sempena apapun jualan itu.

Paling istimewa, di sini saya mengenali seseorang yang kini begitu akrab dengan saya pada hari ini. Itu kisah dua tahun dahulu. Biar saya simpan saja dan tak perlu rasanya saya kisahkan di sini.

Advertisements

Rindu

Posted: Julai 18, 2010 in Aku, Dia, Perasaan, Perkongsian

Hari ini saya rasa ingin menulis lagi. Baiklah. Sebelum saya terus menulis, saya ingin ucapkan selamat hari lahir kepada teman-teman yang mula menempuh hari tua dalam masa seminggu ini. Maaf ya, bukan tidak mahu menulis nama seorang demi seorang, tetapi takut pula ada yang terlepas pandang, kecil hati pula nanti. *senyum*

Hari ini saya rasa rindu. Rindu kepada masa-masa lalu yang tak mungkin dapat diputar semula. Rindu kepada teman-teman yang kini terpisah mengikut haluan masing-masing. Rindu kepada mereka-mereka yang sudah lama tidak bersua muka. Rindu juga pada kenangan-kenangan lama yang suatu ketika dulu saya begitu teruja untuk meninggalkannya. Alam persekolahan contohnya, yang sebelum tamat sekolah dahulu saya rasa sungguh tak sabar-sabar untuk meninggalkannya namun kini menjadi suatu kerinduan pula.

Saya juga rindu kepada teman-teman semasa di universiti dahulu. Terutamanya beberapa teman rapat. Walaupun kini masih rancak berhubung melalui mukabuku, namun kalian tahu bukan bertemu di ruang maya jauh bezanya dengan bertemu bersua muka? Tak lupa juga saya turut rindu suasana ketika pertama kali bergelar seorang guru, walaupun hanya seorang guru pelatih untuk tiga bulan sahaja. Di sana saya bertemu dengan sesuatu yang amat saya rindu saat ini. Jangan ditanya apa atau siapa kerana biarlah saya saja yang menyimpan rindu itu. Itu suatu pengalaman terindah dan saya kagumi kerana sehingga hari ini bekas-bekas pelajar yang saya ajar atau tidak ajar masih memanggil saya cikgu.

Saya menulis ini sekadar untuk melepaskan kerinduan kepada setiap insan yang saya rindui. Semoga hembusan rindu ini sampai kepada mereka dan rasa ini singgah dalam tadahan telapak tangan doanya agar dapat hilang rindu ini barang seketika supaya dapat saya tidur lena setiap malam.

Hari ini saya rasa rindu.

Magis

Posted: Julai 15, 2010 in Dia, Peribadi, Perkongsian

Beberapa hari lepas rasa berasa kecil hati dan agak marah kepada dia. Bagi saya di begitu mementingkan diri dan tidak mahu cuba untuk membantu saya. Selama ini saya begitu mengambil berat terhadap dirinya tetapi bila saya dalam keadaan memerlukan, dia seolah-olah tidak merasa apa-apa. Tetapi itu beberapa hari lepas. Semalam saya berjumpa dengan dia selepas panggilan dijawab setelah saya mencuba berpuluh-puluh kali. Dalam hati pada ketika itu masih terasa marah. Entah mengapa bila mendengar suara dia kemarahan saya itu hilang sedikit demi sedikit. Ibarat pasir di Selangor yang dikorek seperti yang heboh di dalam akhbar beberapa hari ini.

Maka malam itu dia bersetuju mahu keluar dengan saya. Bila memandang mukanya, hati saya jadi berbunga-bunga. Bagai ada suatu kuasa magis saya rasa bila bersama dengan dia dan kuasa itu menghalau segala rasa marah yang saya pendam selama beberapa hari ini. Dan segalanya kembali baik seperti sedia kala. Pun begitu, saya masih sempat melontarkan sindiran kepadanya mengenai apa yang saya rasa beberapa hari lepas. Dia diam sahaja. Kemudian tergelak dan saya ikut tergelak. Padan muka dia.

Adakah magis itu kerana hati saya ini telalu mudah ditundukkan atau kerana apa?

Rajin

Posted: Julai 14, 2010 in Aku, Kawan, Pandangan

Entah kenapa sejak kebelakangan ini rajin pula saya meng‘update’ blog saya ini. Mungkin kerana terlalu banyak masa lapang untuk dihabisi, maka otak di dalam batu jemala saya ini sering saja berputar memikirkan apa yang perlu dilakukan dan akhirnya saya memilih untuk menulis. Usah tanya kenapa sebab saya juga tiada jawapannya.

Oh ya. Semalam seorang teman menghantar kiriman es em es yang agak pelik. Tiba-tiba sahaja dia bertanya saya adalah saya menganggap dia sombong selama saya mengenali dirinya. Jujur saya katanya dia bukanlah seorang yang sombong kerana selama saya mengenali dia, mulutnya memang tidak tahu berhenti bercakap. Dan kadang-kadang akan mengeluarkan “hikmat beyla-beyla” (bak kata mantan rumet saya). Maka saya tanpa ragu mengatakan dia bukanlah seorang yang sombong bahkan terlebih ramah. Dan apa yang boleh saya katakan di sini, untuk teman saya itu dan diri saya juga, biarkan apa orang lain mahu kata apa kerana manusia semangnya suka membuat tanggapan terhadap seseorang. Bila sudah kenal betul baru mereka akan tahu tentang diri seseorang itu dan peratusan untuk mengubah tanggapan awal itu agak tinggi. Maka, biarkan saja.

Saya adalah seorang yang akan cuba menerima seseorang sebagaimana orang itu dapat menerima saya seadanya. Sekiranya dia sombong, maka saya akan abaikan sahaja dia. Dan disebabkan itu juga, kata saya kepada teman saya itu, saya selesa selama berkawan dengannya. Seperti yang telah saya jelaskan di atas.

Ya! Itu jawapan saya. Muktamad.

Ungkit

Posted: Julai 12, 2010 in Aku, Blog, Perasaan, Peribadi

Saya bukanlah seorang yang suka mengungkit setiap apa yang telah saya lakukan pada masa lalu. Tetapi kadang-kadang saya ada juga sedikit meletakkan harapan sekiranya saya melakukan sesuatu kepada seseorang, maka jika saya dalam keadaan yang sangat terdesak ada juga seseorang yang boleh saya cuba-cuba mahu minta bantuan. Dalam keadaan sangat terdesak ya.

Saya sebenarnya kurang gemar meminta bantuan orang selagi masih belum begitu terdesak. Bimbang nanti termakan budi. Tetapi bila saya cuba meminta tolong kepada insan-insan yang saya sayang dan saya agak boleh diharap dan dia cuba memberi alasan yang agak tidak menarik, maka akan timbul sedikit rasa tidak senang dalam hati saya. Rasa kecil hati mungkin. Saya bukan seorang yang suka meminta bantuan secara percuma. InsyaAllah kalau ada rezeki lebih saya akan beri sedikit ganjaran atas khidmat pertolongan yang diberikan. Duit minyak misalnya. Dan itu yang biasa saya amalkan.

Tetapi hari ini hati saya sedikit kecewa dengan dia yang begitu rapat dengan saya. Dia yang biasanya saya turuti keinginannya. Dia yang selalu saya cuba penuhi hajatnya. Dia yang kerap kali saya cuba hiburkan hatinya. Tapi apa boleh buat, bukan senang mahu minta tolong. Alahai.

Mengapa Saya Berblog

Posted: Julai 11, 2010 in Aku, Blog, Terima kasih

Ada beberapa orang teman yang bertanya kenapa saya menulis di dalam blog ini. Tidak kurang juga yang agak sinikal dan skeptikal bila saya mengatakan saya mempunyai blog. Dan persoalan ini saya simpan sejak mula menulis entri pertama pada 18 November 2007. Hari ini saya mengambil sedikit ruang untuk menulis entri walaupun alasan mengapa saya menulis di sini ada saya tulis dalam bahagian Tentang TongkangBocor.

Saya menulis sekadar suka-suka untuk meluahkan apa yang di rasa kerana saya fikir ruang ini satu medium untuk saya melepaskan segala perasaan dan tekanan yang dihadapi dalam keadaan yang terkawal. Maka saya akan gembira apabila membaca semula apa yang saya telah coretkan diruang ini. Biarlah orang kata saya syok sendiri tapi itu hak saya. Apa yang membanggakan ialah kini ramai rakan-rakan saya telah mempunyai blog sendiri bahkan ada yang lebih menarik daripada blog saya ini. Itu tidak mengapa kerana bagi saya itu sesuatu yang bagus tambahan pula selepas tamat pengajian, saya masih dapat mengikuti perkembangan rakan-rakan yang mempunyai blog melalui hasil tulisan mereka. Sekurang-kurangnya lepas juga rasa rindu dihati.

Ada yang mencadangkan kepada saya untuk memasang aplikasi iklan seperti Nuffnang dan sebagainya untuk menjana pendapatan sampingan seperti kebanyakan blogger lain tetapi seperti yang saya katakan tadi, tujuan saya hanyalah sekadar suka-suka. Maka tidak perlulah untuk memasang iklan-iklan yang kelihatan menyemakkan mata saya yang melihatnya.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi membaca samada terjumpa blog ini secara sengaja atau tidak sengaja. Dan tahniah juga kepada rakan-rakan yang mula berjinak-jinak dengan dunia blog ini. Saya akan mengunjungi blog anda sekiranya ada kelapangan. Teruskan menulis apa sahaja yang anda mahu asalkan tidak melampaui batas dan undang-undang negara Malaysia yang tercinta ini atau menyentuh isu-isu sensitif. Kepada rakan-rakan yang mula berjinak-jinak atau mahu mula membina blog sendiri, teruskan usaha anda. Terima kasih juga kepada pemilik blog Bluehikari kerana mencetuskan idea untuk saya mula menulis blog seperti ini. Salam sayang dari saya buat semua.

Saya Masih Begini

Posted: Julai 8, 2010 in Aku, Blog, Cuti, Mereng

Saya menulis hari ini atas teguran beberapa teman yang bosan melihat laman maya ini terbiar bersawang. Bukan kerana tiada cerita yang mahu dikongsi bersama. Bukan juga kerana sibuk bekerja kerana sehingga saat entri ini ditulis, saya masih lagi bergelar penganggur terhormat berijazah. Cuma apa yang berlaku ialah kemalasan yang melanda setiap kali mahu menulis sebarang cerita. Sehinggalah ada seorang teman yang mengatakan dia melepaskan kerinduan kepada teman-teman sepengajian dengan meluangkan masa membaca blog mereka, maka saya telah mengambil inisiatif untuk menulis entri baru hari ini sambil mengunyah kuih donut dan mencicip milo panas.

Saya selepas tamat praktikal masih seperti biasa. Tiada apa yang berubah melainkan usia yang semakin hari semakin bertambah (tahun ini masuk 23 tahun, jadi perlu mula menjalani rawatan penegangan kulit muka dan anti penuaan,hahaha…).

Oh ya! Bagi memenuhi impian teman yang mahu melihat blog saya dikemaskini, cuaca hari ini sangat panas di Segamat. Mungkin tanda-tanda mahu hujan petang nanti dan agak memeningkan kerana cuca sekarang tidak menentu. Hujan atau panas sukar diduga. Juga, di sini sedang musim durian.

Penat pula menaip. Cukuplah setakat ini, asalkan blog ini sudah dikemaskini, hahaha…Mahu sambung makan donut dan minum milo.