Arkib untuk Oktober, 2010

Hati

Posted: Oktober 30, 2010 in Aku, Dia, Harapan, Perasaan, Perkongsian

Hari ini saya rasa seperti mahu menulis entri jiwa-jiwa sedikit. Tapi saya bukanlah seorang yang jiwang. Cuma tergerak untuk berkongsi sedikit dengan kalian tentang hati yang pastinya setiap dari kita punya hati.

Hati. Kecil tapi paling besar pengaruhnya dalam hidup kita. Allah dan Rasul juga sudah bilang bahawa dalam diri manusia itu ada sebuku daging yang kalau baik dijaga maka baiklah kita tetapi kalau tidak dijaga, maka satu titik akan terpalit sehinggalah jika terlalu banyak titik hitam itu maka akan hitamlah hati seseorang itu. Itu pasal agama. Tapi bukan itu yang saya mahu katakan sebab saya bukanlah seorang yang sangat pandai dalam bab agama. Banyak lagi perlu dipelajari.

Yang saya katakan hari ini tentang hati yang mungkin sedikit jiwa-jiwa. Kan saya sudah katakan entri saya kali ini agak jiwa-jiwa. Ha ha. Hati ini kalau kita belai dan manjakan, maka ia akan subur dan bahagia lebih-lebih lagi bila dikongsi bersama orang yang dicintai. Mencintai dan dicintai, maka akan berbunga-bungalah hati seseorang itu.

Tapi jaga-jaga ya bagi hati yang sedang berbunga-bunga. Sebab saat inilah hati itu jadi begitu sensitif. Salah sedikit akan timbullah rajuk. Tetapi kalau kena caranya maka mudahlah dipujuk.

Bahayanya hati ini kerana eloknya hanya sekali seperti gelas kaca atau kertas baru. Bila pecah kaca itu, maka cubalah untuk dicantum dengan cara apapun pasti ia tidak akan sesempurna asal. Retaknya pasti kekal. Begitu juga jika hati itu dianalogikan dengan sehelai kertas baru. Sekali direnyukkan, maka ia tidak akan menjadi selicin yang asal tak kiralah diseterika atau direndam dalam kanji.

Maka saya selalu saja berdoa agar hati saya dan hati orang disamping saya dapat saya jaga dengan baik. Dan kepada teman-teman, berhati-hati menjaga hati. *senyum*

 

Nasib

Posted: Oktober 28, 2010 in Aku, Harapan, Perkongsian

Bangun pagi-pagi saya berasa kurang enak. Entah kenapa hati ini terasa tidak senang. Saya kutip pelan-pelan semangat yang bersepah entah di mana. Jumpa sedikit dan saya genggam. Oh! Hampir saja terlepas. Banyak yang difikirkan mungkin tapi rasanya macam tiada apa yang perlu difikirkan. Jadi saya teruskan hari-hari seperti biasa yang sedikit membosankan.

Tadi saya sempat berborak dengan seorang cikgu pencen yang biasa saya temui. Dan seperti biasa saya sangat suka dengan gaya percakapan cikgu itu yang kadang-kadang menimbulkan semangat dalam diri saya untuk menjadi seorang pendidik. Dari isu pelajar murid zaman sekarang sehinggalah politik dan pilihanraya kecil DUN Galas dan Batu Sapi, saya setia mendengar pandangan orang lama. Dalam banyak-banyak yang saya dengar, saya perkara yang saya tergelak dengan penuh sopan (erk?!). Katanya, “Cikgu ni kerjanya bercakap. Walaupun sudah pencen, masih banyak cakap”. Betul lah tu agaknya. Ha ha ha.

Oh ya. Waktu makan tengah hari sudah tiba. Mohon undur diri dulu ya. Jangan serik untuk mampir lagi ya. *sigh*

Cemburu

Posted: Oktober 27, 2010 in Aku, Bengang, Dia, Perasaan, Peribadi

Kadang-kadang saya pelik dan keliru dengan perangai sesetengah orang yang begitu cepat merasa cemburu. Perkara remeh-temeh pun mahu dicemburukan. Apalah yang disusah-susahkan mahu memikirkan rasa itu yang tentu saja membebani akal fikir serta emosi sedangkan jika menggunakan akal yang waras dan rasional, sudah pasti perkara itu terlalu enteng untuk diladeni dengan serius. Ironinya ada yang suka menganggap isu remeh temeh itu suatu yang besar dan merisaukan.

Itu mukadimahnya. Sebenarnya minda saya baru saja ditabrak seribu pertanyaan mengapa dia itu boleh cemburu dengan saya. Akal apa yang digunakannya sehingga sanggup menuduh saya yang bukan-bukan walaupun tidak dihadapan saya. Allah itu Maha Adil, maka ditunjukkannya saya kebenaran yang saya temui tanpa sengaja. Kalau ikutkan hati mahu saja saya tegur kebodohan orang itu tetapi demi menjaga hubungan saya dengan DIA, saya diamkan saja. Nak dikata bodoh belajar boleh tahan tingginya. Tapi akal yang sepatutnya digunakan bersama otak dikepala diletak pula di kepala lutut. Hilang rasa hormat saya selama ini dan timbul pula rasa benci. Wahai hati, tenang-tenang saja ya. Orang begini usah kau layan. Biarkan saja dan buat macam biasa bila dengan DIA.

Tamat.

Fuyyoh!

Posted: Oktober 23, 2010 in Aku, Blog, Perasaan, Perkongsian

Entah la. Saya masih tak tahu macam mana nak memulakan semula. Bila klik, keluar paparan papan pemuka WordPress.com, saya sudah tidak seghairah dulu untuk mengetik papan kekunci untuk menaip entri. Kemudian klik pangkah semula dan buka mukabuku. Alahai…

Malam ini hujan renyai-renyai. Saya buka sekali lagi blog ini dan akhirnya dapat menaip sedikit entri sekadar untuk menyapu sawang-sawang di sini. Banyak cerita yang mahu saya kongsi tetapi masih tiada idea untuk membiarkan jari-jari ini menulis entri. Antaranya :

1. Pemergian arwah nenda ke alam ‘sana’

2. Penantian yang masih tidak berkesudahan.

3. Majlis Konvokesyen

4. Dia.

5. Dilema bakal guru bujang.

Nanti-nantilah saya cerita ya. Mahu solat Maghrib dulu. Muga Tuhan beri kekuatan untuk terus berkongsi dengan kalian serba sedikit rencah hidup yang saya lalui. Untuk diambil iktibar atau kalau tak mahu abaikan saja.