Arkib untuk November, 2010

Marah

Posted: November 10, 2010 in Aku, Bengang, Peribadi, Tekanan

Ada macam-macam cara untuk seseorang mengekspresikan perasaan marah. Menengking, memaki, menjerit, menangis, memukul dan sebut sahaja apa cara pun, itulah cara manusia marah. Terpulang kepada setiap individu samada mahu menunjukkan kemarahan atau memendamnya.

Saya juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari rasa marah kerana saya punya perasaan. Walaupun saya sayangkan dia; dan sudah banyak kali memberi muka dengan meminggirkan rasa marah itu, tetapi kali ini saya rasa marah yang teramat sangat. Bukan dengan sikap dia tetapi sikap seseorang yang berkaitan dengan dia. Hati saya rasa begitu sakit dan saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan perasaan itu.

Saya apabila marah akan secara tiba-tiba akan menjadi sangat pendiam. Saya akan buat acuh tak acuh dengan orang yang saya marah itu. Saya tidak tahu mengapa tetapi hati saya menjadi begitu tawar untuk beberapa ketika.

Itu saya apabila marah. Dan hari ini saya rasa marah, mungkin kerana terlalu banyak memendam rasa dengan sikapnya. Dan saya tahu akhirnya saya juga yang akan kalah dan mula mengatur bicara bila rasa marah itu telah pergi.

Advertisements

Kahwin

Posted: November 9, 2010 in Aku, Pandangan, Perasaan, Peribadi, Perkongsian, Uncategorized

Orang zaman dulu biasanya kahwin awal. Umur belasan tahun merupakan masa-masa di mana ibu bapa sudah mula sibuk-sibuk untuk menjodohkan anak-anak mereka dengan orang yang menjadi pilihan untuk dijadikan menantu. Maka apabila menjelang umur 30-an atau 40-an bagi yang murah rezeki, akan berderetlah anak-anak mereka. Bagi yang lambat berkahwin terutamanya anak gadis, pasti mulut orang akan menyebut perkara-perkara tidak elok dan secara otomatiknya akan ‘dianugerahkan’ gelaran anak dara tua. Masa juga dirasakan begitu lambat berlalu dan usia muda digunakan dengan sebaiknya untuk merancang masa depan. Itu cerita zaman dulu-dulu.

Hari ini perkara adalah sebaliknya. Walaupun umur sudah belasan tahun, perangainya masih seperti kanak-kanak. Awal remaja katanya. Dan apabila umur menjangkau 20 tahun, itu merupakan masa yang sangat sibuk untuk menimba ilmu terutamanya yang menuntut di menara gading. Saya akui kebenaran itu kerana saya sendiri telah melaluinya. Proses transisi daripada bayi kepada kanak-kanak-kepada remaja kepada awal dewasa saya setakat ini terasa begitu cepat sangat berlalu. Dan kadang-kadang saya masih terbawa-bawa sikap keanak-anakan tanpa saya sedari. Pada masa ini, saya masih tercari-cari identiti diri yang sebenar untuk dikekalkan sehingga hari tua dan seterusnya sehingga ke liang lahad.

Rakan-rakan sebaya saya dan yang lebih tua sedikit atau muda sedikit daripada saya, saya kira tentunya sedang hangat bercinta dan ada juga yang telah berkahwin. Itu hak masing-masing selagi mereka mampu untuk memikul tanggungjawab yang dipikul sebaik bergelar suami atau isteri. Tetapi tidak bagi saya. Umur muda begini tidak seharusnnya dibazirkan dengan perkara sia-sia. Tetapi saya tidak mengatakan kahwin muda itu sia-sia bahkan dituntut oleh agama. Yang saya katakan sia-sia ialah bercinta bertahun-tahun lamanya tanpa ada perancangan dan tujuan tetap. Cinta sahaja zaman sekarang tidak cukup. Berjanjilah untuk setia mendakap cinta, Gunung Merapi sanggup didaki, Laut Merah sanggup diselami tapi kalau tiada jaminan material tidak ke mana. Kononnya sanggup berkorban apa saja demi cinta. Sanggup minum air suam dan makan nasi lauk kicap hari-hari? Takkan tidak teragak mahu makan sedap-sedap? Tak suka pakai pakaian cantik-cantik? Tak mahu duduk dirumah yang selesa? Kalau sudah menjadi ibu bapa, sanggup melihat anak-anak menelan air liur melihat teman sebaya cantik bergaya serta dapat makan apa yang menaikkan selera dan dapat apa sahaja yang dipinta?

Jadi buat masa ini saya sudah punya jawapan kalau ada orang bertanya kenapa saya tidak bercinta. Saya seorang yang sangat takut kecewa. Itu saya akui kelemahan saya yang ketara. Saya mahu nikmati masa yang saya ada sekarang untuk membuat apa yang saya suka hatta perkara itu suatu yang gila. Dan apabila saya mula berkerjaya tidak lama lagi, saya mahu gunakan apa yang saya ada untuk sesuatu yang saya suka, membantu ibu bapa dan mengumpul sedikit harta pada usia muda. Buat apa mahu menabur wang ringgit kepada orang yang belum tentu jadi milik kita? Kalau adapun yang saya cinta, cukuplah saya belanjakan seadanya dan apabila pasti dia milik saya, insyaAllah saya akan cuba memenuhi apa yang dimahunya selagi di dalam kemampuan saya.

Apabila ditanya soalan ‘Bila mahu kahwin?’, jawapannya tunggu sehingga saya puas menikmati apa yang saya ada. Masa sekarang begitu pantas sehingga kadang-kadang saya juga terlepas apa yang saya suka kerana ada ketikanya saya menjadi seorang yang culas. Itu jelas. Dan itu hak peribadi saya. Biarkan masa menentukannya. Jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki semuanya terletak di tangan-Nya. Ini pandangan saya ya. Maaf kalau tidak sama dengan pandangan kalian.

Jauh

Posted: November 2, 2010 in Dia, Perasaan, Peribadi

Bila jauh terasa rindu tapi bila selalu bersama ada saja yang kelihatan seperti tak kena. Biarkan sesekali berjauhan, pasti lebih terasa kemanisan hubungan. Bukan setakat dalam percintaan tetapi juga dalam persahabatan atau apa-apa juga jenis perhubungan. Kadang berdekatan, kadang berjauhan. Terasa lebih menghargai kehadiran pasangan. Belajar erti kerinduan, apa salahnya kan? *senyum*