Arkib untuk Disember, 2010

23

Posted: Disember 14, 2010 in Aku, Peribadi, Syukur, Terima kasih

Terima kasih wahai Allah. Tahun ini pada bulan ini, usia saya sudah mencecah dua puluh tiga tahun. Sudah tua rupanya saya. Ha ha ha. Kalaulah saya hidup pada zaman sebelum merdeka, mungkin pada ketika ini anak saya sudah bersusun minta disuapkan nasi. Tapi itu kalau dulu.

Pada usia ini, saya merasakan masih banyak perkara yang saya hajati masih belum saya penuhi. Mungkin salah satu yang saya capai ialah bekerja pada usia dua puluh dua tahun (sebab saya lapor diri pada 22 November lalu). Alhamdulillah usaha saya selama empat tahun di menara gading telah memberikan saya pekerjaan ini. Berkhidmat sebagai seorang pendidik. Walaupun jauh diperantauan pada kali pertama penempatan, namun saya ambil ianya sebagai satu cabaran yang perlu saya hadapi dan pengorbanan yang perlu saya lakukan demi mencapai sebuah impian. Bukan ingin mahu kaya tetapi cukuplah hidup selesa serta dapat membantu ibu dan bapa.

Oh ya! Banyak perkara rupanya yang perlu difikirkan apabila mula bekerjaya tambahan pula tinggal jauh dari kampung halaman. Rumah sewanya, bil utilitinya, makan minumnya dan segala macam perkara perlu difikirkan. Tetapi insyaAllah saya akan cuba mengaturnya dengan cara terbaik. Doakan saya. Saya juga selalu mendoakan insan-insan yang pernah saya kenali sentiasa berole kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sampai sini sajalah ya. Sebenarnya ketika ini ada sedikit masa senggang dalam masa menjalankan program kepemimpinan untuk pelajar sekolah saya ini. Suara sudah serak kerana terlalu banyak membesarkan tekak. Badan juga agak letih kerana sudah lama tidak tidur lewat. InsyaAllah akan saya gagahi sehingga akhir program ini.

Tidak lupa saya ucapkan infiniti terima kasih kepada rakan-rakan muka buku yang mengucapkan selamat hari lahir kepada saya tempoh hari. Ingatan kalian amat saya hargai. Doa yang sama juga saya kembalikan untuk kalian.

Advertisements