Tentang Tongkang

tongkang1.jpg

Bukan berbangga, bukan mencari nama, bukan menunjuk pandai. Bukan. Bukan. Bukan. Cuma sekadar ingin meluah rasa, berkongsi cerita dan menyampai berita buat teman-teman yang sudi meluangkan masa menjengah ruang maya yang tak seberapa ini. Aku bukan seorang yang pandai menulis, apatah lagi cekap dalam menyusun kata menyampai maksud. Aku sebenarnya hanya mencuba-cuba. Itupun atas saranan seorang kenalan lantaran aku rasa kurang selesa meluah rasa kepada orang lain. Ruang maya ini juga agak kurang pelayarnya. Hanya kepada kenalan-kenalan sahaja aku sampaikan mengenai kewujudan ruang maya ini. Kalau adapun orang yang tidak aku kenali, mungkin mereka menjumpainya tanpa sengaja. Bagi yang tidak aku kenali, salam perkenalan aku hulurkan.

Cukup rasanya mukaddimah yang diberi. Untuk pengetahuan kalian, nama seperti dalam kad pengenalan yang diberi ayah bonda tidaklah begitu dikenali melainkan dalam acara rasmi. Sekiranya dikampung halaman, aku lebih dikenali sebagai Along. Ops, lupa aku nak beritahu. Aku berasal dari sebuah daerah di Selatan Semenanjung. Segamat namanya. Kalian tahu di mana? Kalau tak tahu, carilah sendiri. Ha! Ha! Ha! Oklah, sambung pasal nama. Kalau dikampung aku dikenali sebagai Along, dikampus pula aku lebih dikenali dengan panggilan mesra ‘wi’. Biasanya rakan-rakan akan mengandakan menjadi wiwi. Suka hati merekalah… Sebagai tambahan, sekarang aku sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Bacelor Pendidikan Bimbingan & Kaunseling di sebuah IPTA yang terkenal dengan penyelidikan berkaitan pertanian. Dalam melalui kehidupan samada sebagai manusia biasa, pelajar universiti ataupun makhluk TUHAN, banyak dugaan dan cabaran yang aku lalui bersulam dengan rasa suka duka, bahagia derita dan pelbagai lagi rasa. Itulah namanya asam garam kehidupan. Kalau tidak bermacam rasa, bukanlah kehidupan namanya. Betul tak?

Kenapa TongkangBocor? Sebab aku mengandaikan kehidupan seperti kita menumpang sebuah tongkang yang sedang meredah lautan yang bergelombang. Kalian faham? Fikir-fikirkanlah… Tema atau tagline yang dipilih sebagai simbolik ialah ‘kadang tenang kadang bertaufan, itulah ragam dalam kehidupan’. Inipun kalian fikirlah sendiri. Ha! Ha! Ha!

Cukuplah setakat di sini sedikit pengenalan diri aku diruang maya ini. Sekiranya kalian mempunyai sebarang komen, cadangan hatta makian sekalipun, silalah meringankan jari menaip komen atau hantarkan terus e-mail kepada hazri_syazwan@yahoo.com.my. Teruskan membaca blog aku yang tak seberapa ini…

footer

Advertisements