Archive for the ‘Doa’ Category

Tugas

Posted: Mac 19, 2012 in Aku, Doa, Harapan, Perkongsian

Cuti seminggu sudah berakhir. Maka tugas-tugas di sekolah pasti banyak yang sedia menanti. Satu-demi satu menunggu untuk diselesaikan. Moga segalanya dipermudah. Butir-butir semangat saya kutip satu demi satu agar amanah yang terandal dibahu dapat disempurnakan dengan jaya. Bukan mahu tunjuk hebat. Saya cuma cuba untuk jadi hebat kerana saya tahu saya belum lagi jadi orang yang hebat. Rabbi Yassir wa La Tuassir.

Syukur

Posted: Januari 6, 2011 in Aku, Doa, Syukur

Syukur setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana Dia masih memberi kekuatan kepada saya untuk memulakan hidup baru. Syukur juga kerana Dia masih memberi ruang dan peluang yang sangat bermakna ini untuk saya mengutip segala pengalaman-pengalaman hidup yang sedang dan akan saya harungi.

Saya juga bersyukur kerana berpeluang membina tapak sebagai seorang pendidik di sebuah sekolah yang mana keadaannya walaupun agak kecil dan lama, tetapi warganya terutama guru-guru dan pentadbir begitu membantu saya yang serba cetek pengalamannya ini. Guru-guru senior begitu terbuka menerima kehadiran saya di sini dan bibit-bibit kemesraan sudah bermula semenjak hari pertama saya melapor diri di sekolah ini. InsyaAllah saya akan cuba melaksanakan tugas besar yang terandal dibahu saya ini dengan sebaiknya. Mudah-mudahan.

Moga rasa syukur ini sentiasa kekal di dalam hati saya dan membantu saya membuka dimensi baru dalam kehidupan yang akan saya lalui. Saya kutip pengalaman-pengalaman lalu dan saya taburkannya menjadi benih-benih untuk saya tuai pengalaman baru di hari mendatang. Doakan saya dan semoga kebaikan yang sama, malah yang lebih lagi hendaknya buat kalian.

28 Febuari 1987

Posted: Februari 28, 2010 in Aku, Doa, Harapan, Peribadi, Syukur, Terima kasih

Imbas kembali. 27 Febuari 1987, tempatnya sebuah rumah  di sebuah FELDA di daerah Segamat Johor. Sepasang lagi suami isteri diijab kabulkan sebagai memenuhi fitrah manusia yang inginkan sebuah keluarga. Dan disitulah bermula sejarah yang seterusnya akan melahirkan seorang manusia yang sedang menulis entri ini. Tidak banyak yang mampu di tulis kerana aku sendiri belum wujud lagi pada untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Hanya yang dapat aku panjatkan ialah kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T yang telah menyatukan dua insan yang menjadi penyebab wujudnya aku di dunia ini. Terima kasih kepada ibu yang telah melahirkan aku ke dunia ini dan ayah yang menjadi punca lahirnya aku di dunia ini. Semoga  ayah dan ibu sentiasa beroleh rahmat dan kesejahteraan. Sesungguhnya tidak terbalas segala jasa walau seluas lautan emas dihamparkan atau setinggi gunung ditimbun intan.

Wahai Tuhan kami, Kau ampunkan dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua ibu bapa kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kami kecil. AMIN.

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE 23 BUAT KEDUA IBU BAPA KU.

Guru

Posted: Februari 23, 2010 in Aku, Doa, Harapan, Perasaan, Perkongsian, Semasa, Susah

Selama ini semasa bergelar murid sekolah, aku hanya mengenang jasa guru bila iba Hari Guru saban tahun. Nampak kerja guru mudah sangat-sangat, iyalah, kerja cuma setengah hari. Tapi itu dulu. Sekarang aku mengalami sendiri bagaimana sukarnya menjadi seorang pendidik yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia bergelar murid. Cabarannya begitu terasa walaupun sekadar latihan praktikal selama tiga bulan yang baru aku lalui beberapa hari. Tuhan! Kau permudahkanlah segalanya buatku dan rakan-rakan seperjuanganku. Amin…

Selama ini semasa bergelar murid sekolah, aku hanya mengenang jasa guru bila iba Hari Guru saban tahun. Nampak kerja guru mudah sangat-sangat, iyalah, kerja cuma setengah hari. Maafkan aku cikgu.

Tamatnya Satu Kisah

Posted: Februari 3, 2010 in Akhir, Aku, Doa, Peribadi, UPM

Tinggal beberapa hari saja lagi aku aku meninggalkan universiti ini. Bukanlah bermaksud aku sudah tamat pengajian tetapi akan mengikuti latihan praktikal selama tiga bulan dan selepas itu tidak akan kembali lagi ke sini kerana jumlah kredit yang diperlukan telah mencukupi. Jadi, selepas praktikal hanya tunggu untuk bergraduasi. Dengan izin Ilahi. Selama hampir empat tahun mengaji di sini, banyak perkara yang telah aku pelajari.*sigh*

Bermacam perasaan telah aku rasai. Suka, duka, kecewa, bahagia semuanya. Berbagai ragam manusia telah aku temui. Baik, jahat, lurus, khianat. Banayak kenangan manis akan aku bawa bersama, begitu juga yang pahit, turut tidak dilupa. Segala budi, pengalaman dan ikatan yang wujud akan aku simpan kemas-kemas dalam memori ingatan. Yang baik, indah-indah pasti akan membuat aku tersenyum apabila mengenangnya. Yang tidak baik, akan aku cuba lihat sisi baik di sebaliknya. Moga-moga apa yang aku pelajari dapat membantu aka menghadapi cabaran masa hadapan dan pada masa yang sama membantu aku memperbaiki diri agar sisi gelap dalam diri yang kadang-kadang cuba menguasai (dan kadang-kadang berjaya menguasai) dapat aku ladeni dengan sebaiknya.*tarik nafas dalam-dalam*

Ironinya, kadangkala aku tewas dalam kawalan diri. Aku juga kadangkala terlalu menurut emosi. Bukan tidak cuba memperbaiki. Masih mencuba. Empat tahun ini banyak mematangkan diri. Biarlah apa orang mahu kata, asalkan aku gembira dengan apa yang aku lalui, itu sudah cukup. Kepada rakan-rakan yang masih mampu berkawan dengan aku, tahniah diucapkan kerana masih mampu bertahan.*sengih*. Banyak sebenarnya yang aku pelajari daripada kalian. Terima kasih yang tidak terhingga. Aku sayang kalian.

Dalam hati ini masih bercampur aduk segala perasaan sebeluam keluar praktikal. Mampukah aku lalui? Bagaimana harus aku lalui? Apa yang akan aku lalui? Siapa yang akan aku temui? Ah! Lupakan semua itu. Ada masa beberapa hari  lagi sebelum pergi. Nanti-nanti saja difikirkan.*ketawa*

Moga-moga Dia permudahkan segalanya untuk aku. Untuk teman-teman juga.*senyum lebar*

Jangan dijolok sarang tabuan,

Kelak disengat merana badan.

Daulat Tuanku baginda Sultan,

Jangan sesekali dipertikaikan.

Tanpa daulat Tuanku Sultan,

Melayu hilang ketuanan.

p/s : Saya selaku rakyat Darul Takzim yang bernaung di bawah kesultanan Johor dengan ini menyelar sekeras-kerasnya perbuatan dan penulisan blogger Aduka Taruna di atas penghinaan si durjana ini terhadap Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail. Al-Fatihah untuk roh Almarhum.

Masa Depan

Posted: Januari 4, 2010 in Aku, Dia, Doa, Kawan, Perasaan, Peribadi, Terima kasih

Kita punya hak untuk menentukan masa depan sendiri. Kita juga punya hak untuk menentukan kebahagiaan sendiri. Masa silam bukan untuk kita kesali sebaliknya ia merupakan satu daripada episod kehidupan yang telah kita lalui. Ianya adalah untuk dipelajari. Usah risau kawan. Kau masih punya ruang dan peluang untuk memperbaiki kelemahan dan kekhilafan diri. Seharusnya kau ucap terima kasih kepada Dia kerana telah menegur bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan kehidupan yang sedang engkau jalani. Aku? Usah ragu lagi. Aku setia disisimu untuk menemani. Aku janji!

Apapun masa silam kamu, aku tetap terima dan harapan aku agar kamu juga bisa menerima aku seadanya.