Archive for the ‘Melayu’ Category

Burger

Posted: Mac 16, 2012 in Aku, Makan-makan, Melayu, Perkongsian

Berilah saya burger KFC atau McDonalds yang harganya berbelas-belas ringgit itu, selera saya tetap pada burger ala Melayu. Daging burger digoreng di atas kuali leper; ditambah perasa Maggi, sedikit serbuk kari, serbuk lada hitam dan dicurah sedikit air bawang. Kemudian dimakan bersama salad, bawang dan timun, ditambah sos cili, sos lada hitam dan mayonis. Cukup menyelerakan.Mahu yang special? Minta tambah telur dan keju. Rumit betul untuk membuatnya kalau dibandingkan burger ala Mat Salleh yang simple. Cuma, kalau makan janganlah kerap sangat, kurang bagus.

Mungkin memang dah menjadi suatu trademark yang menjual burger ini biasanya orang Melayu. Puas saya saya perhati, tapi masih belum jumpa orang Cina atau India menjual burger. Mungkin ada, cuma saya saja yang belum terjumpa. Walaupun biasanya secara kecil-kecilan, saya percaya kerja menjual burger pasti mendatangkan keuntungan. Kalau sedap, pasti ramai yang mencari. Dan sedikt yang saya nak kongsi, burger maut sepupu saya di Melaka. Rasanya memang sedap ditambah tarikan skill  ‘api naik kuali’nya. Sudah terkenal sekitar Melaka. Kalau ke Melaka singgah-singgah la ya. Letaknya di Semabok, berhadapan Hotel Semabok Inn.

Imej

Imej

Imej

Imej

Imej

Imej

Oh ya. Ada juga murid saya yang berniaga burger ini. Boleh tahan rasanya. Selalu juga saya melepak di gerainya. Letak gerainya di hadapan SJKC Pai Tek, Nibong Tebal. Semoga abang-abang burger (atau adik-adik) akan terus maju dalam perniagaan.

Advertisements

“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”

(al-Hujarat : 12)

.

.

.

.

.

Melayu

Posted: September 8, 2008 in Melayu, Pandangan, Perkongsian, Sajak

Alahai Melayu. Kerana kuasa jadi rebutan, sanggup bangsa jadi ejekan. Sedang antara Melayu asyik berbalah, bangsa lain yang melihat ketawa berdekah. Untuk jawatan yang digilakan, agama pula jadi mainan. Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Nanti sudah terhantuk baru terngadah. Apalah salah bermuzakarah sebelum sampai masa lelah. Betulkan mana yang salah, baiki sisi yang sompek, tampal segala kebocoran. Betul agaknya Melayu mudah lupa. Lupa bahawa perjuangan belum selesai. Apa kata kita renungi sajak nukilah Sasterwan Negara, Allahyarham Usman Awang. Baca dengan hati, supaya setip bait dapat dimengerti.

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani semua Melayu, Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu (Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya, Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya, Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya, Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal, Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali, Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri. 
 

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan.

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Allahyarham SN USMAN AWANG

Ikrar Melayu

Posted: April 27, 2008 in Melayu, Pandangan, Perkongsian

Kalian baca Berita Harian hari ini? Aku tertarik mengulas sedikit berkaitan isu menjulang keris Panca Warisan oleh Datuk Seri Hishamuddin pada Perhimpunan Agung UMNO 3 tahun lalu. Beliau secara sukarela membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikritik hebat selama ini. Aku hormati tindakan beliau tetapi aku secara peribadi merasakan itu bukanlah suatu ancaman kepada kaum-kaum lain. Apa salahnya kalau kita jadikan keris itu sebagi lambang perjuangan Melayu? Bukankah tanah ini asalnya tanah kita. Kalau bukan orang Melayu sendiri yang membela bangsanya siapa lagi pula yang akan membela kita. Bukan aku ingin menyentuh isu perkauman tetapi silapnya Melayu ini ialah selalu sangat bertelagah sesama sendiri, sanggup menjatuhkan sesama Melayu lalu bangsa lain terus meninggalkan kita terus terkebelakang dalam setiap aspek terutama ekonomi. Alangkah baiknya jika semua kita bersatu demi kemashalatan bersama. Bukankah kita semua bersaudara dalam satu rumpun. Apa kata kita renung kembali dan hayati Ikrar Melayu ini. Kita kaji dan teliti setiap patah kata dan setiap baris baris ayat di dalam ikrar ini. Ingat, setelah kalian membaca ikrar ini, diharap kalian dapat memenuhi aspirasi generasi terdahulu. Pokoknya sekarang kita perlu sama-sama bermuhasabah bagaimana untuk mengekalkan kepimpinan Melayu, bukannya ketuanan Melayu kerana sekarang ini ketuanan sememangnya kita sudah ada. Hayatilah ikrar ini.

Termaktub di Batu Pahat pada 8 Rabi’ulawal 1365 hijrah bersamaan 10 Februari 1946 Masihi :

  • Kami umat Melayu beragama Islam pada hari ini,
  • Berjanji tidak akan berhasad dengki, khianat dan iri hati,
  • Bertelagah dan berbalah sesama sendiri
  • Kami berjanji akan bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam
  • Kami juga akan bekerja kuat untuk menyara diri dan keluarga kami
  • Kami bersedia bersaing sesama umat Melayu dan kaum-kaum lain dengan jujur dan terhormat
  • Kami umat Melayu, Islam bersumpah setia untuk :
  1. mempertahankan kepentingan dan hak Melayu
  2. mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu
  3. memperjuangkan iktisad dan pelajaran bangsa Melayu
  4. mempertahankan maruah negara supaya aman sejahtera

 

Sama-sama kita renungkan. Hentikanlah segala pertelingkahan wahai bangsaku. Bantulah sesama Melayu dan bekerjasamalah dengan bangsa-bangsa lain kerana kita semua rakyat Malaysia. Setuju dengan aku? Kalau tidak setuju, abaikan sahaja. Mungkin entri ini membosankan tetapi aku menulis ikhlas dari hati demi melihat Melayu tidak terus tersisih di tanah sendiri. Ini pandangan aku. Ini pemikiran aku. Sekadar berpendapat Cuma.