Archive for the ‘Peribadi’ Category

Keputusan Penting

Posted: Mac 17, 2012 in Aku, Harapan, Perasaan, Peribadi

Sungguh. Hidup ini sentiasa mahukan kita membuat keputusan. Keputusan yang perlu dibuat dari hadirnya pilihan atau ketentuan. Keputusan yang kadang-kadang mengelirukan. Keputusan yang menuntut kesediaan yang sebenar-benarnya untuk menanggung kesan dan akibatnya. Kadang-kadang dalam membuat keputusan akan menyebabkan perasaan dan fikiran menjadi bingung. Saya mohon dari-Nya agar tidak salah membuat keputusan. Kerana ia mungkin mengubah hidup saya seluruhnya.

23

Posted: Disember 14, 2010 in Aku, Peribadi, Syukur, Terima kasih

Terima kasih wahai Allah. Tahun ini pada bulan ini, usia saya sudah mencecah dua puluh tiga tahun. Sudah tua rupanya saya. Ha ha ha. Kalaulah saya hidup pada zaman sebelum merdeka, mungkin pada ketika ini anak saya sudah bersusun minta disuapkan nasi. Tapi itu kalau dulu.

Pada usia ini, saya merasakan masih banyak perkara yang saya hajati masih belum saya penuhi. Mungkin salah satu yang saya capai ialah bekerja pada usia dua puluh dua tahun (sebab saya lapor diri pada 22 November lalu). Alhamdulillah usaha saya selama empat tahun di menara gading telah memberikan saya pekerjaan ini. Berkhidmat sebagai seorang pendidik. Walaupun jauh diperantauan pada kali pertama penempatan, namun saya ambil ianya sebagai satu cabaran yang perlu saya hadapi dan pengorbanan yang perlu saya lakukan demi mencapai sebuah impian. Bukan ingin mahu kaya tetapi cukuplah hidup selesa serta dapat membantu ibu dan bapa.

Oh ya! Banyak perkara rupanya yang perlu difikirkan apabila mula bekerjaya tambahan pula tinggal jauh dari kampung halaman. Rumah sewanya, bil utilitinya, makan minumnya dan segala macam perkara perlu difikirkan. Tetapi insyaAllah saya akan cuba mengaturnya dengan cara terbaik. Doakan saya. Saya juga selalu mendoakan insan-insan yang pernah saya kenali sentiasa berole kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sampai sini sajalah ya. Sebenarnya ketika ini ada sedikit masa senggang dalam masa menjalankan program kepemimpinan untuk pelajar sekolah saya ini. Suara sudah serak kerana terlalu banyak membesarkan tekak. Badan juga agak letih kerana sudah lama tidak tidur lewat. InsyaAllah akan saya gagahi sehingga akhir program ini.

Tidak lupa saya ucapkan infiniti terima kasih kepada rakan-rakan muka buku yang mengucapkan selamat hari lahir kepada saya tempoh hari. Ingatan kalian amat saya hargai. Doa yang sama juga saya kembalikan untuk kalian.

Marah

Posted: November 10, 2010 in Aku, Bengang, Peribadi, Tekanan

Ada macam-macam cara untuk seseorang mengekspresikan perasaan marah. Menengking, memaki, menjerit, menangis, memukul dan sebut sahaja apa cara pun, itulah cara manusia marah. Terpulang kepada setiap individu samada mahu menunjukkan kemarahan atau memendamnya.

Saya juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari rasa marah kerana saya punya perasaan. Walaupun saya sayangkan dia; dan sudah banyak kali memberi muka dengan meminggirkan rasa marah itu, tetapi kali ini saya rasa marah yang teramat sangat. Bukan dengan sikap dia tetapi sikap seseorang yang berkaitan dengan dia. Hati saya rasa begitu sakit dan saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan perasaan itu.

Saya apabila marah akan secara tiba-tiba akan menjadi sangat pendiam. Saya akan buat acuh tak acuh dengan orang yang saya marah itu. Saya tidak tahu mengapa tetapi hati saya menjadi begitu tawar untuk beberapa ketika.

Itu saya apabila marah. Dan hari ini saya rasa marah, mungkin kerana terlalu banyak memendam rasa dengan sikapnya. Dan saya tahu akhirnya saya juga yang akan kalah dan mula mengatur bicara bila rasa marah itu telah pergi.

Kahwin

Posted: November 9, 2010 in Aku, Pandangan, Perasaan, Peribadi, Perkongsian, Uncategorized

Orang zaman dulu biasanya kahwin awal. Umur belasan tahun merupakan masa-masa di mana ibu bapa sudah mula sibuk-sibuk untuk menjodohkan anak-anak mereka dengan orang yang menjadi pilihan untuk dijadikan menantu. Maka apabila menjelang umur 30-an atau 40-an bagi yang murah rezeki, akan berderetlah anak-anak mereka. Bagi yang lambat berkahwin terutamanya anak gadis, pasti mulut orang akan menyebut perkara-perkara tidak elok dan secara otomatiknya akan ‘dianugerahkan’ gelaran anak dara tua. Masa juga dirasakan begitu lambat berlalu dan usia muda digunakan dengan sebaiknya untuk merancang masa depan. Itu cerita zaman dulu-dulu.

Hari ini perkara adalah sebaliknya. Walaupun umur sudah belasan tahun, perangainya masih seperti kanak-kanak. Awal remaja katanya. Dan apabila umur menjangkau 20 tahun, itu merupakan masa yang sangat sibuk untuk menimba ilmu terutamanya yang menuntut di menara gading. Saya akui kebenaran itu kerana saya sendiri telah melaluinya. Proses transisi daripada bayi kepada kanak-kanak-kepada remaja kepada awal dewasa saya setakat ini terasa begitu cepat sangat berlalu. Dan kadang-kadang saya masih terbawa-bawa sikap keanak-anakan tanpa saya sedari. Pada masa ini, saya masih tercari-cari identiti diri yang sebenar untuk dikekalkan sehingga hari tua dan seterusnya sehingga ke liang lahad.

Rakan-rakan sebaya saya dan yang lebih tua sedikit atau muda sedikit daripada saya, saya kira tentunya sedang hangat bercinta dan ada juga yang telah berkahwin. Itu hak masing-masing selagi mereka mampu untuk memikul tanggungjawab yang dipikul sebaik bergelar suami atau isteri. Tetapi tidak bagi saya. Umur muda begini tidak seharusnnya dibazirkan dengan perkara sia-sia. Tetapi saya tidak mengatakan kahwin muda itu sia-sia bahkan dituntut oleh agama. Yang saya katakan sia-sia ialah bercinta bertahun-tahun lamanya tanpa ada perancangan dan tujuan tetap. Cinta sahaja zaman sekarang tidak cukup. Berjanjilah untuk setia mendakap cinta, Gunung Merapi sanggup didaki, Laut Merah sanggup diselami tapi kalau tiada jaminan material tidak ke mana. Kononnya sanggup berkorban apa saja demi cinta. Sanggup minum air suam dan makan nasi lauk kicap hari-hari? Takkan tidak teragak mahu makan sedap-sedap? Tak suka pakai pakaian cantik-cantik? Tak mahu duduk dirumah yang selesa? Kalau sudah menjadi ibu bapa, sanggup melihat anak-anak menelan air liur melihat teman sebaya cantik bergaya serta dapat makan apa yang menaikkan selera dan dapat apa sahaja yang dipinta?

Jadi buat masa ini saya sudah punya jawapan kalau ada orang bertanya kenapa saya tidak bercinta. Saya seorang yang sangat takut kecewa. Itu saya akui kelemahan saya yang ketara. Saya mahu nikmati masa yang saya ada sekarang untuk membuat apa yang saya suka hatta perkara itu suatu yang gila. Dan apabila saya mula berkerjaya tidak lama lagi, saya mahu gunakan apa yang saya ada untuk sesuatu yang saya suka, membantu ibu bapa dan mengumpul sedikit harta pada usia muda. Buat apa mahu menabur wang ringgit kepada orang yang belum tentu jadi milik kita? Kalau adapun yang saya cinta, cukuplah saya belanjakan seadanya dan apabila pasti dia milik saya, insyaAllah saya akan cuba memenuhi apa yang dimahunya selagi di dalam kemampuan saya.

Apabila ditanya soalan ‘Bila mahu kahwin?’, jawapannya tunggu sehingga saya puas menikmati apa yang saya ada. Masa sekarang begitu pantas sehingga kadang-kadang saya juga terlepas apa yang saya suka kerana ada ketikanya saya menjadi seorang yang culas. Itu jelas. Dan itu hak peribadi saya. Biarkan masa menentukannya. Jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki semuanya terletak di tangan-Nya. Ini pandangan saya ya. Maaf kalau tidak sama dengan pandangan kalian.

Jauh

Posted: November 2, 2010 in Dia, Perasaan, Peribadi

Bila jauh terasa rindu tapi bila selalu bersama ada saja yang kelihatan seperti tak kena. Biarkan sesekali berjauhan, pasti lebih terasa kemanisan hubungan. Bukan setakat dalam percintaan tetapi juga dalam persahabatan atau apa-apa juga jenis perhubungan. Kadang berdekatan, kadang berjauhan. Terasa lebih menghargai kehadiran pasangan. Belajar erti kerinduan, apa salahnya kan? *senyum*

Cemburu

Posted: Oktober 27, 2010 in Aku, Bengang, Dia, Perasaan, Peribadi

Kadang-kadang saya pelik dan keliru dengan perangai sesetengah orang yang begitu cepat merasa cemburu. Perkara remeh-temeh pun mahu dicemburukan. Apalah yang disusah-susahkan mahu memikirkan rasa itu yang tentu saja membebani akal fikir serta emosi sedangkan jika menggunakan akal yang waras dan rasional, sudah pasti perkara itu terlalu enteng untuk diladeni dengan serius. Ironinya ada yang suka menganggap isu remeh temeh itu suatu yang besar dan merisaukan.

Itu mukadimahnya. Sebenarnya minda saya baru saja ditabrak seribu pertanyaan mengapa dia itu boleh cemburu dengan saya. Akal apa yang digunakannya sehingga sanggup menuduh saya yang bukan-bukan walaupun tidak dihadapan saya. Allah itu Maha Adil, maka ditunjukkannya saya kebenaran yang saya temui tanpa sengaja. Kalau ikutkan hati mahu saja saya tegur kebodohan orang itu tetapi demi menjaga hubungan saya dengan DIA, saya diamkan saja. Nak dikata bodoh belajar boleh tahan tingginya. Tapi akal yang sepatutnya digunakan bersama otak dikepala diletak pula di kepala lutut. Hilang rasa hormat saya selama ini dan timbul pula rasa benci. Wahai hati, tenang-tenang saja ya. Orang begini usah kau layan. Biarkan saja dan buat macam biasa bila dengan DIA.

Tamat.

Magis

Posted: Julai 15, 2010 in Dia, Peribadi, Perkongsian

Beberapa hari lepas rasa berasa kecil hati dan agak marah kepada dia. Bagi saya di begitu mementingkan diri dan tidak mahu cuba untuk membantu saya. Selama ini saya begitu mengambil berat terhadap dirinya tetapi bila saya dalam keadaan memerlukan, dia seolah-olah tidak merasa apa-apa. Tetapi itu beberapa hari lepas. Semalam saya berjumpa dengan dia selepas panggilan dijawab setelah saya mencuba berpuluh-puluh kali. Dalam hati pada ketika itu masih terasa marah. Entah mengapa bila mendengar suara dia kemarahan saya itu hilang sedikit demi sedikit. Ibarat pasir di Selangor yang dikorek seperti yang heboh di dalam akhbar beberapa hari ini.

Maka malam itu dia bersetuju mahu keluar dengan saya. Bila memandang mukanya, hati saya jadi berbunga-bunga. Bagai ada suatu kuasa magis saya rasa bila bersama dengan dia dan kuasa itu menghalau segala rasa marah yang saya pendam selama beberapa hari ini. Dan segalanya kembali baik seperti sedia kala. Pun begitu, saya masih sempat melontarkan sindiran kepadanya mengenai apa yang saya rasa beberapa hari lepas. Dia diam sahaja. Kemudian tergelak dan saya ikut tergelak. Padan muka dia.

Adakah magis itu kerana hati saya ini telalu mudah ditundukkan atau kerana apa?