Archive for the ‘Perkongsian’ Category

Tugas

Posted: Mac 19, 2012 in Aku, Doa, Harapan, Perkongsian

Cuti seminggu sudah berakhir. Maka tugas-tugas di sekolah pasti banyak yang sedia menanti. Satu-demi satu menunggu untuk diselesaikan. Moga segalanya dipermudah. Butir-butir semangat saya kutip satu demi satu agar amanah yang terandal dibahu dapat disempurnakan dengan jaya. Bukan mahu tunjuk hebat. Saya cuma cuba untuk jadi hebat kerana saya tahu saya belum lagi jadi orang yang hebat. Rabbi Yassir wa La Tuassir.

Burger

Posted: Mac 16, 2012 in Aku, Makan-makan, Melayu, Perkongsian

Berilah saya burger KFC atau McDonalds yang harganya berbelas-belas ringgit itu, selera saya tetap pada burger ala Melayu. Daging burger digoreng di atas kuali leper; ditambah perasa Maggi, sedikit serbuk kari, serbuk lada hitam dan dicurah sedikit air bawang. Kemudian dimakan bersama salad, bawang dan timun, ditambah sos cili, sos lada hitam dan mayonis. Cukup menyelerakan.Mahu yang special? Minta tambah telur dan keju. Rumit betul untuk membuatnya kalau dibandingkan burger ala Mat Salleh yang simple. Cuma, kalau makan janganlah kerap sangat, kurang bagus.

Mungkin memang dah menjadi suatu trademark¬†yang menjual burger ini biasanya orang Melayu. Puas saya saya perhati, tapi masih belum jumpa orang Cina atau India menjual burger. Mungkin ada, cuma saya saja yang belum terjumpa. Walaupun biasanya secara kecil-kecilan, saya percaya kerja menjual burger pasti mendatangkan keuntungan. Kalau sedap, pasti ramai yang mencari. Dan sedikt yang saya nak kongsi, burger maut sepupu saya di Melaka. Rasanya memang sedap ditambah tarikan skill ¬†‘api naik kuali’nya. Sudah terkenal sekitar Melaka. Kalau ke Melaka singgah-singgah la ya. Letaknya di Semabok, berhadapan Hotel Semabok Inn.

Imej

Imej

Imej

Imej

Imej

Imej

Oh ya. Ada juga murid saya yang berniaga burger ini. Boleh tahan rasanya. Selalu juga saya melepak di gerainya. Letak gerainya di hadapan SJKC Pai Tek, Nibong Tebal. Semoga abang-abang burger (atau adik-adik) akan terus maju dalam perniagaan.

Lama II

Posted: Mac 16, 2012 in Aku, Harapan, Perasaan, Perkongsian, Uncategorized
Tag:, ,

Lama saya renung skrin komputer riba. Lama juga saya mengacah-acah jari untuk mula menaip. Merenung skrin dan mengacah-acah jari kerana cuba mengingat kata laluan blog ini sebenarnya. Hampir lupa kerana sudah lebih setengah tahun tidak menjengah laman ini rupanya. Moga-moga ini bukan kali terakhir saya menulis di siniuntuk tahun ini.

Saya mula mengenal laman ini semasa dilanda pelbagai masalah suatu ketika dulu. Lalu saya jadikan tempat ini sebagai medium mencurah rasa. Hari ini saya mula merasakan saya kembali memerlukan ruang ini. Ya, itu sikap biasa seorang manusia biasa termasuk saya. Mencari bila perlu, tinggalkan bila senang dengan yang lain.

Kahwin

Posted: November 9, 2010 in Aku, Pandangan, Perasaan, Peribadi, Perkongsian, Uncategorized

Orang zaman dulu biasanya kahwin awal. Umur belasan tahun merupakan masa-masa di mana ibu bapa sudah mula sibuk-sibuk untuk menjodohkan anak-anak mereka dengan orang yang menjadi pilihan untuk dijadikan menantu. Maka apabila menjelang umur 30-an atau 40-an bagi yang murah rezeki, akan berderetlah anak-anak mereka. Bagi yang lambat berkahwin terutamanya anak gadis, pasti mulut orang akan menyebut perkara-perkara tidak elok dan secara otomatiknya akan ‘dianugerahkan’ gelaran anak dara tua. Masa juga dirasakan begitu lambat berlalu dan usia muda digunakan dengan sebaiknya untuk merancang masa depan. Itu cerita zaman dulu-dulu.

Hari ini perkara adalah sebaliknya. Walaupun umur sudah belasan tahun, perangainya masih seperti kanak-kanak. Awal remaja katanya. Dan apabila umur menjangkau 20 tahun, itu merupakan masa yang sangat sibuk untuk menimba ilmu terutamanya yang menuntut di menara gading. Saya akui kebenaran itu kerana saya sendiri telah melaluinya. Proses transisi daripada bayi kepada kanak-kanak-kepada remaja kepada awal dewasa saya setakat ini terasa begitu cepat sangat berlalu. Dan kadang-kadang saya masih terbawa-bawa sikap keanak-anakan tanpa saya sedari. Pada masa ini, saya masih tercari-cari identiti diri yang sebenar untuk dikekalkan sehingga hari tua dan seterusnya sehingga ke liang lahad.

Rakan-rakan sebaya saya dan yang lebih tua sedikit atau muda sedikit daripada saya, saya kira tentunya sedang hangat bercinta dan ada juga yang telah berkahwin. Itu hak masing-masing selagi mereka mampu untuk memikul tanggungjawab yang dipikul sebaik bergelar suami atau isteri. Tetapi tidak bagi saya. Umur muda begini tidak seharusnnya dibazirkan dengan perkara sia-sia. Tetapi saya tidak mengatakan kahwin muda itu sia-sia bahkan dituntut oleh agama. Yang saya katakan sia-sia ialah bercinta bertahun-tahun lamanya tanpa ada perancangan dan tujuan tetap. Cinta sahaja zaman sekarang tidak cukup. Berjanjilah untuk setia mendakap cinta, Gunung Merapi sanggup didaki, Laut Merah sanggup diselami tapi kalau tiada jaminan material tidak ke mana. Kononnya sanggup berkorban apa saja demi cinta. Sanggup minum air suam dan makan nasi lauk kicap hari-hari? Takkan tidak teragak mahu makan sedap-sedap? Tak suka pakai pakaian cantik-cantik? Tak mahu duduk dirumah yang selesa? Kalau sudah menjadi ibu bapa, sanggup melihat anak-anak menelan air liur melihat teman sebaya cantik bergaya serta dapat makan apa yang menaikkan selera dan dapat apa sahaja yang dipinta?

Jadi buat masa ini saya sudah punya jawapan kalau ada orang bertanya kenapa saya tidak bercinta. Saya seorang yang sangat takut kecewa. Itu saya akui kelemahan saya yang ketara. Saya mahu nikmati masa yang saya ada sekarang untuk membuat apa yang saya suka hatta perkara itu suatu yang gila. Dan apabila saya mula berkerjaya tidak lama lagi, saya mahu gunakan apa yang saya ada untuk sesuatu yang saya suka, membantu ibu bapa dan mengumpul sedikit harta pada usia muda. Buat apa mahu menabur wang ringgit kepada orang yang belum tentu jadi milik kita? Kalau adapun yang saya cinta, cukuplah saya belanjakan seadanya dan apabila pasti dia milik saya, insyaAllah saya akan cuba memenuhi apa yang dimahunya selagi di dalam kemampuan saya.

Apabila ditanya soalan ‘Bila mahu kahwin?’, jawapannya tunggu sehingga saya puas menikmati apa yang saya ada. Masa sekarang begitu pantas sehingga kadang-kadang saya juga terlepas apa yang saya suka kerana ada ketikanya saya menjadi seorang yang culas. Itu jelas. Dan itu hak peribadi saya. Biarkan masa menentukannya. Jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki semuanya terletak di tangan-Nya. Ini pandangan saya ya. Maaf kalau tidak sama dengan pandangan kalian.

Hati

Posted: Oktober 30, 2010 in Aku, Dia, Harapan, Perasaan, Perkongsian

Hari ini saya rasa seperti mahu menulis entri jiwa-jiwa sedikit. Tapi saya bukanlah seorang yang jiwang. Cuma tergerak untuk berkongsi sedikit dengan kalian tentang hati yang pastinya setiap dari kita punya hati.

Hati. Kecil tapi paling besar pengaruhnya dalam hidup kita. Allah dan Rasul juga sudah bilang bahawa dalam diri manusia itu ada sebuku daging yang kalau baik dijaga maka baiklah kita tetapi kalau tidak dijaga, maka satu titik akan terpalit sehinggalah jika terlalu banyak titik hitam itu maka akan hitamlah hati seseorang itu. Itu pasal agama. Tapi bukan itu yang saya mahu katakan sebab saya bukanlah seorang yang sangat pandai dalam bab agama. Banyak lagi perlu dipelajari.

Yang saya katakan hari ini tentang hati yang mungkin sedikit jiwa-jiwa. Kan saya sudah katakan entri saya kali ini agak jiwa-jiwa. Ha ha. Hati ini kalau kita belai dan manjakan, maka ia akan subur dan bahagia lebih-lebih lagi bila dikongsi bersama orang yang dicintai. Mencintai dan dicintai, maka akan berbunga-bungalah hati seseorang itu.

Tapi jaga-jaga ya bagi hati yang sedang berbunga-bunga. Sebab saat inilah hati itu jadi begitu sensitif. Salah sedikit akan timbullah rajuk. Tetapi kalau kena caranya maka mudahlah dipujuk.

Bahayanya hati ini kerana eloknya hanya sekali seperti gelas kaca atau kertas baru. Bila pecah kaca itu, maka cubalah untuk dicantum dengan cara apapun pasti ia tidak akan sesempurna asal. Retaknya pasti kekal. Begitu juga jika hati itu dianalogikan dengan sehelai kertas baru. Sekali direnyukkan, maka ia tidak akan menjadi selicin yang asal tak kiralah diseterika atau direndam dalam kanji.

Maka saya selalu saja berdoa agar hati saya dan hati orang disamping saya dapat saya jaga dengan baik. Dan kepada teman-teman, berhati-hati menjaga hati. *senyum*

 

Nasib

Posted: Oktober 28, 2010 in Aku, Harapan, Perkongsian

Bangun pagi-pagi saya berasa kurang enak. Entah kenapa hati ini terasa tidak senang. Saya kutip pelan-pelan semangat yang bersepah entah di mana. Jumpa sedikit dan saya genggam. Oh! Hampir saja terlepas. Banyak yang difikirkan mungkin tapi rasanya macam tiada apa yang perlu difikirkan. Jadi saya teruskan hari-hari seperti biasa yang sedikit membosankan.

Tadi saya sempat berborak dengan seorang cikgu pencen yang biasa saya temui. Dan seperti biasa saya sangat suka dengan gaya percakapan cikgu itu yang kadang-kadang menimbulkan semangat dalam diri saya untuk menjadi seorang pendidik. Dari isu pelajar murid zaman sekarang sehinggalah politik dan pilihanraya kecil DUN Galas dan Batu Sapi, saya setia mendengar pandangan orang lama. Dalam banyak-banyak yang saya dengar, saya perkara yang saya tergelak dengan penuh sopan (erk?!). Katanya, “Cikgu ni kerjanya bercakap. Walaupun sudah pencen, masih banyak cakap”. Betul lah tu agaknya. Ha ha ha.

Oh ya. Waktu makan tengah hari sudah tiba. Mohon undur diri dulu ya. Jangan serik untuk mampir lagi ya. *sigh*

Fuyyoh!

Posted: Oktober 23, 2010 in Aku, Blog, Perasaan, Perkongsian

Entah la. Saya masih tak tahu macam mana nak memulakan semula. Bila klik, keluar paparan papan pemuka WordPress.com, saya sudah tidak seghairah dulu untuk mengetik papan kekunci untuk menaip entri. Kemudian klik pangkah semula dan buka mukabuku. Alahai…

Malam ini hujan renyai-renyai. Saya buka sekali lagi blog ini dan akhirnya dapat menaip sedikit entri sekadar untuk menyapu sawang-sawang di sini. Banyak cerita yang mahu saya kongsi tetapi masih tiada idea untuk membiarkan jari-jari ini menulis entri. Antaranya :

1. Pemergian arwah nenda ke alam ‘sana’

2. Penantian yang masih tidak berkesudahan.

3. Majlis Konvokesyen

4. Dia.

5. Dilema bakal guru bujang.

Nanti-nantilah saya cerita ya. Mahu solat Maghrib dulu. Muga Tuhan beri kekuatan untuk terus berkongsi dengan kalian serba sedikit rencah hidup yang saya lalui. Untuk diambil iktibar atau kalau tak mahu abaikan saja.