Archive for the ‘Ramadhan’ Category

Akhir

Posted: September 6, 2010 in Aku, Perasaan, Ramadhan, Raya

Beberapa hari lagi sahaja yang tinggal untuk kita menyambut Aidilfitri. Jalan mula sesak dengan kenderaan orang ramai yang mula sibuk membuat persiapan terakhir menyambut Syawal mulia. Pelita-pelita juga mula dipasang menerangi halaman rumah terutamanya di desa termasuk juga rumah saya (tahun ini cuma pasang 12, hehe..). Bazar-bazar Ramadhan semakin sesak semenjak sepuluh malam terakhir. Ironinya masjid-masjid dan surau-surau pula semakin susut bilangan jemaahnya. Ya, kadang-kadang kita terlalu ghairah menyambut raya hingga terlupa ada satu tawaran terhebat yang datang setahun sekali. Malam Lailatulqadar yang mana sesiapa beramal padanya seolah-olah beribadat 1000 bulan. Entah sudah terlepas atau tidak saya sendiri tiada jawapan. Wallahua’lam.

Hujung-hujung Ramadhan menjelang Syawal begini, saya kadang-kadang teringat memori menyambut Aidilfitri semasa kanak-kanak dahulu. Lain sungguh suasananya berbanding sekarang. Iyalah, memang betul sudah besar tetapi sebenarnya saya dapat lihat bahawa kemeriahan lebaran itu tidak seperti zaman saya masih kanak-kanak dahulu. Mungkin kerana kehidupan sekarang yang begitu bersifat meterialistik. Semakin ramai yang memilih untuk bekerja pada hari raya kerana dibayar gaji double atau triple berbanding menziarahi keluarga dan sanak saudara yang memerlukan belanja untuk menghulur sampul berisi wang kertas. Entahlah. *mengeluh*

Nantilah saya ceritakan sedikit sebanyak pengalaman menyambut raya semasa kanak-kanak. Bukan kali ini kerana saya perlu menutup kedai sekarang disebabkan jam sudah menunjukkan jam lima petang.

*Masih memikirkan juadah apa yang mahu dibeli untuk berbuka.

Lapar

Posted: Ogos 18, 2010 in Aku, Blog, Ramadhan

Masih belum terlambat rasaya saya ucapkan Selamat Menunaikan Ibadat Puasa dengan sempurna buat muslimin dan muslimat yang terbaca blog saya ini samada secara sengaja atau tidak. Moga kita sama-sama meraih peluang keemasan sempena pesta pahala ini untuk menguti seberapa banyak ganjaran yang ditawarkan oleh-Nya. Pejam celik pejam celik sudah lapan Ramadhan hari ini. Dan pejam celik pejam celik juga sudah kurang empat hari cukup sebulan saya tidak menulis. Bukan tidak mahu menulis tetapi rasa malas yang mencengkam membuatkan jari-jemari saya ini terasa begitu berat untuk menaip. Tetapi hari ini saya memaksa diri untuk menulis kerana rasa cemburu. Ya, saya rasa cemburu kerana ramai rakan-rakan blogger semakin aktif menulis dan ada sahaja rakan-rakan yang sebelum ini bukanlah seorang blogger kini sudah mula menulis. Tahniah! (Selamat datang kepada seorang teman yang baru menjadi blogger iaitu Saudara Ishak dengan blognya http://www.oaw-10.blogspot.com/. Semoga menjadi blogger tegar, hahaha)

Lapan hari berpuasa terasa begitu singkat. Entahlah, masa yang berlalu terasa begitu pantas. Dan saya seakan-akan tidak sedar apa yang telah saya lalui. Mungkin tuntutan kehidupan memaksa kita bergerak dan menjalani hidup dengan pantas. Tetapi saya masih seperti biasa. Saya tetap orang yang sama. Cuma mungkin masa hidup di dunia yang semakin bertambah ini lebh mematangkan saya untuk membuat penilaian dalam kehidupan.

Kata orang, penantian suatu penyiksaan tetapi bagi saya, penantian adalah untuk menguji kesabaran. Saya sejak beberapa hari ini sering berhadapan dengan penantian dan kadang-kadang sabar saya tercabar juga. Pun begitu, berkat Ramadhan ini rasa marah itu sedikit kurang dan saya lebih suka menzahirkan rasa marah dengan kata-kata atau perbuatan bersifat sinikal dan sarkastik.

Penat pula menulis dan konsenstrasi agak terganggu bila saya menulis sambil mendengar seseorang berdengkur di sebelah. Bukan main sedap dia tidur sedangkan saya tidak dapat melelapkan mata walaupun rasa kantuk agak menyelubungi. Nanti sajalah saya menulis lagi.

Oh ya. Saya menulis pagi ini kerana rasa cemburu.Ya, saya rasa cemburu kerana ramai rakan-rakan blogger semakin aktif menulis dan ada sahaja rakan-rakan yang sebelum ini bukanlah seorang blogger kini sudah mula menulis.

ShineySmileysOriginalFullMaha Suci Tuhan yang menciptakan manusia dengan berbagai rasa. Marah, gembira, sedih, kecewa, bahagia. Semuanya tersulam menjadi satu episod selagi jasad masih bernyawa. Segala rasa ini yang memanusiakan kita. Dengan akal dan jiwa, segalanya perlu bersatu. Terpulang pada setiap jiwa untuk memilih rasa yang macam mana yang perlu diutama. Tuhan! Beri aku peluang untuk merasa setiap rasa yang Kau cipta. Dan bantulah aku mengharunginya andai rasa itu tidak membuat aku gembira.

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari. Demi bulan apabila ia mengiringi. Demi siang hari bila menampakkan dirinya. Demi malam apabila ia menutupi. Demi langit beserta seluruh binaannya. Demi bumi serta yang ada dihamparannya. Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya. Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan. Beruntung bagi yang mensucikannya. Merugi bagi yang mengotorinya.

Dan kini rasa cemburu mulai mendominasi. Moga ia untuk seketika sahaja. Maha Suci Allah!

footer

Celoteh Enam Ramadhan

Posted: Ogos 27, 2009 in Aku, Ramadhan, Terima kasih

Hari ini hari Khamis. Sedar tak sedar enam hari Ramadhan telah berlalu bagi tahun 1430 hijrah ini. Tak terasa masa berlalu begitu pantas. Kuliah juga telah dipenghujung minggu keenam. Beberapa tugasan telah dan hampir selesai dan banyak lagi yang belum diselesaikan. Moga-moga semuanya akan berjalan seperti yang dirancang. Namun sebagai manusia biasa, aku hanya mampu merancang tetapi ketentuan untuk terlaksana terserah kepada-Nya.

Biasa kita dengar Ramadhan itu membawa seribu satu macam rahmat sepadan dengan kemuliannya yang melebihi segala bulan. Segala amalan pahalanya dilipatgandakan sehingga tujuh puluh kali ganda. Juga tiga fasa yang perlu dilalui. Sepuluh yang pertama untuk kerahmatan. Tariklah seberapa rahmat dari-Nya kerana rahmat itu lawannya laknat. Kemudian barulah masuk ke sepuluh yang kedua. Dengan rahmat yang diturunkan, maka Dia akan mengampunkan setiap hamba-Nya yang memohon keampunan. Selepas mendapat keampunan, maka kemuncaknya adalah fasa ketiga iaitu pelepasan daripada azab neraka. Di sepuluh yang terakhir itu juga dijanjikan satu malam yang barangsiapa beramal padanya akan diberi ganjaran seolah-olah beramal seribu bulan. Itulah dia Lailatulqadar. Seribu bulan laksana kita beramal seumur hidup. Inilah penghormatan buat umat junjungan terakhir yang pendek umurnya berbanding umat-umat terdahulu.

Bukan berkhutbah atau berceramah. Sekadar untuk ingatan bersama dan untuk betuli diri juga. Kita manusia penuh dengan salah dan dosa tetapi janganlah sehingga tidak dapat membezakan cahaya dan kegelapan. Salam Ramadan, selamat berpuasa, selamat berbuka, selamat berterawih dan selamat bersahur buat kalian.

p/s : Dugaan di bulan mulia. Semalam motor aku meragam selepas terbiar lama di dalam hujan lebat. Langsung tidak boleh dihidupkan sehingga terpaksa ditunda dengan bantuan rakan. Mungkin merajuk sebab tuannya biarkan dia berhujan. Alahai. Terima kasih buat sahabatku Mahran Daem kerana sanggup membantu, sanggup bersusah payah dalam hujan. Minta maaf kerana menyusahkan. Tuhan saja yang mampu membalasnya. Aku doakan kau sentiasa dilindungi Tuhan selama hidup di dua alam, dunia dan akhirat.

footer

Demam Isnin

Posted: Ogos 25, 2009 in Aku, Ramadhan, Syukur, UPM

Ini cerita semalam. Pernah tak kalian menghadapi penyakit demam Isnin a.k.a monday fever kata bangsa bekas penjajah kita? Ya, smalam aku mengalami tahap kemalasan yang amat. Mahu buat apa pun terasa begitu berat hatta mahu ke kuliah.Ponteng satu kuliah dan akhirnya rasa sedikit bersalah, hahaha… Kemudian menguatkan diri untuk ke kuliah kedua walaupun terasa kaki bagai diikat dan akhirnya menghadiri kelas malam dengan ceria kerana tidak banyak masalah semasa pembentangan tugasan matapelajaran Pengujian dan Penilaian. Moga-moga hari ini tiada ‘Demam Selasa’, hahaha…

Separuh daripada semester telah berlalu, moga-moga aku akan terus diberi kekuatan untuk meneruskan masa-masa akhir pengajian di Universiti Permai Makmur ini. Telah banyak mehnah dan cabaran yang aku lalui sepanjang hampir empat tahun pengajian. Dan ini adalah Ramadhan terakhir bersama teman-teman sepengajian. Semoga dengan hadirnya Ramadhan yang penuh rahmat akan menjadi platform untuk aku terus bersemangat dalam usaha menggapai impian walau apa jua halangan yang mendatang kerana aku yakin andai tiada seorang pun lagi yang mahu membantu, aku masih ada Tuhan. Doakan aku ya bagi sesiapa yang sudi membaca entri ini.

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA dan berbahagialah dengan kegembiraan yang dijanjikan oleh-Nya bagi orang-orang yang berpuasa iaitu kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa bertemu Tuhannya.

footer