Kembali

Posted: Julai 5, 2011 in Uncategorized

Hati tercari-cari mana hilangnya diri. Laman yang dulunya menjadi tempat mencurah isi hati terbiar sepi. Saya musykil sendiri. Nak dikata masa tak mencukupi, jumlahnya sama sahaja dari dulu hingga kini ; 24 jam sehari. Ah! Biarlah. Hari ini aku ringankan juga jari-jemari untuk menulis sedikit entri. Tongkang kembali dikemudi.

Masuk bulai Julai. Sudah lebih kurang setengah tahun aku menggalas tugas sebagai seorang pendidik. Cabarannya semakin hebat. Cuma saya sahaja yang masih terkial-kial. Cuba untuk menjadi hebat. Moga Tuan Punya Dunia mempermudahkan segala urusan saya dalam menjalankan tugas. Bukan mudah untuk saya menjiwai anak-anak zaman sekarang, sehingga saya pula kadangkala perlu meletakkan diri di tempat anak-anak ini. Remaja yang mencari diri.

Ya! Saya mengajar dan saya juga pelajar yang sedang belajar. Belajar tentang ragam-ragam manusia. Belajar tentang memahami manusia. Saya cuba yang terbaik walaupun saya bukanlah yang terbaik. Ketawa-gembira-seronok-suka. Saya hargai dan nikmati semua itu.

p/s : 9 Julai 2011 ni kita kumpul ramai-ramai bergotong-royong membersihkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes lebih baik daripada jerit-pekik-sorak-tempik tengah panas tengah jalan. Jangan susahkan diri dan susahkan orang lain. Silap-silap dapat gas pemedih mata. Dah, jangan buat kerja mengarut tu.

Lama

Posted: Mac 7, 2011 in Aku

Sudah agak lama saya tidak menjengah ruang ini. Sibuk rupanya menjad seorang cikgu. Bukan setakat menjalankan tugas hakiki tetapi tugas sampingan lain yang bukan main banyak lagi perlu diselesaikan. Maka hasilnya blog saya ini terbiar beberapa lama tanpa disentuh.

Oh ya. Saya tidak mahu menulis panjang. Cuma ingin meluahkan sedikit ketidakpuasan hati tentang pengguna mukabuku a.k.a Facebook yang entah apa-apa. Kalau setakat tambah saya sebagai kawan dan kemudian menyemak di wall saya dengan menulis “Siapa mahu kaya,untung juta-juta dalam masa singkat sila inbox saya..”. Maaf kalau saya terpaksa memadam kamu dari senarai rakan.

Itu sahaja. Selamat malam dan salam sayang buat semua. Esok hari ke-107 saya bergelar cikgu…

Syukur

Posted: Januari 6, 2011 in Aku, Doa, Syukur

Syukur setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana Dia masih memberi kekuatan kepada saya untuk memulakan hidup baru. Syukur juga kerana Dia masih memberi ruang dan peluang yang sangat bermakna ini untuk saya mengutip segala pengalaman-pengalaman hidup yang sedang dan akan saya harungi.

Saya juga bersyukur kerana berpeluang membina tapak sebagai seorang pendidik di sebuah sekolah yang mana keadaannya walaupun agak kecil dan lama, tetapi warganya terutama guru-guru dan pentadbir begitu membantu saya yang serba cetek pengalamannya ini. Guru-guru senior begitu terbuka menerima kehadiran saya di sini dan bibit-bibit kemesraan sudah bermula semenjak hari pertama saya melapor diri di sekolah ini. InsyaAllah saya akan cuba melaksanakan tugas besar yang terandal dibahu saya ini dengan sebaiknya. Mudah-mudahan.

Moga rasa syukur ini sentiasa kekal di dalam hati saya dan membantu saya membuka dimensi baru dalam kehidupan yang akan saya lalui. Saya kutip pengalaman-pengalaman lalu dan saya taburkannya menjadi benih-benih untuk saya tuai pengalaman baru di hari mendatang. Doakan saya dan semoga kebaikan yang sama, malah yang lebih lagi hendaknya buat kalian.

CIKGU

Posted: Januari 1, 2011 in Uncategorized

Hari ini rupa-rupanya sudah setengah bulan saya tidak menjengah ruangan yang selama ini menjadi tempat saya mencurah pandangan dan meluahkan perasaan. Bukan tidak mahu tetapi kelembapan sambungan broadband benar-benar membuatkan saya berasa malas untuk menulis. InsyaAllah selepas ini saya akan cuba merajinkan diri menulis di sini kerana 3G di tempat baru ini lebih laju. Beberapa perkara saya ingin coretkan untuk kali ini. Andai kalian sudi membaca teruskan membaca dan jika bosan, itu hak kalian untuk meninggalkan penulisan ini.

Pertama

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 buat pengunjung yang sedang membaca entri ini. Semoga segala kebaikan tahun lepas bukan sahaja diteruskan malah lebih ditingkatkan pada masa akan datang dan semoga segala kelemahan dan keburukan yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini ditinggalkan. Kalau tidak banyak pun sedikit sebagai permulaan. InsyaAllah.

Kedua

29 Disember 2010 lalu saya secara rasminya menjalankan tugas-tugas sebagai seorang guru. Mesyuarat guru kali pertama diikuti pendaftaran murid lama pada 31 Disember dan pendaftaran murid baharu tingkatan satu hari ini. Saya juga telah menerima senarai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Bukan sebagai seorang kaunselor tetapi sebagai guru sepenuhnya. Paling saya risaukan adalah tugas sebagai Ketua Panitia Pengetahuan Moral disamping Ketua Guru Penasihat Kadet Remaja Sekolah dan lain-lain tugas. InsyaAlah saya akan cuba memikul segaa amanah yang diberikan dengan sebaiknya. Mulai 3 Januari 2011 ini sesi P&P pula akan dimulakan. Doakan saya.

Ketiga

Saya berasa begitu kagum dengan kejayaan pasukan bola sepak negara yang berjaya memenangi Piala Suzuki AFF baru-baru ini. Ternyata K.Rajagobal berjaya mendidik anak-anak buahnya agar terus berusaha walaupun pada mulanya seolah-olah tiada harapan apabila dibelasah 5 gol oleh pasukan Indonesia yang akhinya kita mengalahkan mereka dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir. Satu pengajaran buat Indonesia. Tak perlu saya menulis panjang kerana terlalu banyak ceritanya di dalam media massa.

Keempat

Hari ini juga (1 Januari 2011) merupakan hari keseratus arwah nenek saya kembali ke rahmatullah. Arwah jatuh sakit selama 44 hari bermula sehari sebelum puasa iaitu 29 Syaaban dan akhirnya meninggal dunia pada 23 Syawal. Sejujurnya saya masih tidak boleh melupakan arwah sehingga hari ini. Mata saya sering terbayangkan wajah dan senyumannya yang terukir setiap kali saya mencium pipinya setiap kali sebelum pulang ke universiti dahulu. Walaupun saya terlambat macam mana sekalipun, pasti saya akan berjumpa dengannya walaupun sekejap. Tapi kini tidak lagi. Saya bersyukur dapat bersama-sama arwah pada saat-saat akhir nafasnya. Pada waktu itu saya memegang kakinya ketika nazak sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir. Secara zahirnya terpancar raut ketenangan dalam kesakitan berhadapan sakaratulmaut. Nampak juga raut kepuasan, mungkin puas dengan segala kehidupan dunia yang telah dilalui.

Percaya atau tidak, air mata saya mengalir saat saya menulis ini. Saya tidak mampu lagi untuk menulis panjang tentang arwah kerana tidak mampu membendung sebak dan air mata yang mengalir. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Diharapkan kalian dapat mensedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Jamaliah Binti Ahmad (1927-2010). Al-Fatihah.

23

Posted: Disember 14, 2010 in Aku, Peribadi, Syukur, Terima kasih

Terima kasih wahai Allah. Tahun ini pada bulan ini, usia saya sudah mencecah dua puluh tiga tahun. Sudah tua rupanya saya. Ha ha ha. Kalaulah saya hidup pada zaman sebelum merdeka, mungkin pada ketika ini anak saya sudah bersusun minta disuapkan nasi. Tapi itu kalau dulu.

Pada usia ini, saya merasakan masih banyak perkara yang saya hajati masih belum saya penuhi. Mungkin salah satu yang saya capai ialah bekerja pada usia dua puluh dua tahun (sebab saya lapor diri pada 22 November lalu). Alhamdulillah usaha saya selama empat tahun di menara gading telah memberikan saya pekerjaan ini. Berkhidmat sebagai seorang pendidik. Walaupun jauh diperantauan pada kali pertama penempatan, namun saya ambil ianya sebagai satu cabaran yang perlu saya hadapi dan pengorbanan yang perlu saya lakukan demi mencapai sebuah impian. Bukan ingin mahu kaya tetapi cukuplah hidup selesa serta dapat membantu ibu dan bapa.

Oh ya! Banyak perkara rupanya yang perlu difikirkan apabila mula bekerjaya tambahan pula tinggal jauh dari kampung halaman. Rumah sewanya, bil utilitinya, makan minumnya dan segala macam perkara perlu difikirkan. Tetapi insyaAllah saya akan cuba mengaturnya dengan cara terbaik. Doakan saya. Saya juga selalu mendoakan insan-insan yang pernah saya kenali sentiasa berole kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sampai sini sajalah ya. Sebenarnya ketika ini ada sedikit masa senggang dalam masa menjalankan program kepemimpinan untuk pelajar sekolah saya ini. Suara sudah serak kerana terlalu banyak membesarkan tekak. Badan juga agak letih kerana sudah lama tidak tidur lewat. InsyaAllah akan saya gagahi sehingga akhir program ini.

Tidak lupa saya ucapkan infiniti terima kasih kepada rakan-rakan muka buku yang mengucapkan selamat hari lahir kepada saya tempoh hari. Ingatan kalian amat saya hargai. Doa yang sama juga saya kembalikan untuk kalian.